TERSUNGKURNYA Barisan Nasional (BN) pada Mei lalu menyerlahkan satu lagi sisi kelemahan pengurusan Felda hingga menyebabkan pendapatan puluhan ribu peneroka menjunam.
Pendedahan terbaru oleh sebuah kumpulan kebajikan peneroka telah memberi lebih banyak tekanan kepada pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dalam usahanya untuk mengembalikan Felda di landasan sebenar selepas bertahun-tahun dipalit skandal ketika di bawah pentadbiran Najib Razak.
Kami Anak Felda (KAF) atau Anak Felda mendakwa sejak dua bulan lalu kira-kira 1,500 peneroka mendapati pendapatan mereka berkurangan sebanyak 50%.
Paling teruk ada peneroka mendapati pendapatan bulanan mereka kosong, Presiden KAF Fakhrurrazi Mohd Habib memberitahu The Malaysia Insight.
Beliau berkata ini bukanlah salah kerajaan baharu, tetapi salah pengurusan tertinggi Felda di bawah pentadbiran Najib. Ironinya, Felda dahulu dibuka oleh ayah Najib sendiri.
“Salah satu masalah utama ialah kelemahan Felda Technoplant Sdn Bhd (FTP) yang menguruskan ladang peneroka di bawah jagaannya,” kata Fakhrurrazi.
FTP adalah anak syarikat yang ditugaskan untuk proses penanaman semula dan kemudian menguruskan ladang 10 ekar milik peneroka. Pendapatan daripada hasil tuaian sawit dipindahkan kepada peneroka tetapi mereka perlu membayar yuran pengurusan kepada FTP.

Kebiasaannya, peneroka yang mendaftar dengan FTP ini ialah peneroka yang tidak dapat mengerjakan ladang mereka sendiri seperti mereka yang kurang upaya dan ibu-ibu tunggal.
Dianggarkan terdpaat kira-kira 31,000 peneroka yang masih berada di bawah FTP dan daripada jumlah ini, separuh daripada mereka memperoleh pendapatan kurang sebanyak 50%.
“FTP tak buat kerja dengan betul. Dia tuai (ladang peneroka) cuma sekali sebulan. Baja dan racun perosak pun tak diurus dengan betul, jadi pokok tak hasilkan banyak buah.”
Sebaliknya, bagi peneroka yang menguruskan ladang masig-masing mampu menuai sebanyak dua kali sebulan, iaitu kitaran biasa, dan dapat lebih banyak buah dari pokok mereka, kata Fakhrurrazi.
Masalah lebih barganda apabila peneroka di bawah FTP mendapati pendapatan mereka yang sudah sedia kurang itu dikurangkan lagi untuk bayaran ansuran pinjaman dan yuran pengurusan FTP.
“Di Felda, ada peraturan bahawa peneroka yang berpendapatan bawah RM1,000 sebulan, pendapatan mereka tak akan dipotong. Kita tak tahu kenapa Felda tak ikut peraturan ini.”
“Jadi, kalau seorang peneroka dapat pendapatan kasar RM800 sebulan daripada hasil tuaian di bawah FTP, pendapatan yang tinggal selepas ditolak hanyalah RM400.
“Kalau mereka dapat hasil tuaian RM500 sebulan, itu lagi teruk dan sebab itulah kita dapati ada peneroka yang pendapatan mereka kosong.”
Mazlan Aliman daripada satu lagi kumpulan, Anak, berkata senario ini amat bertentangan dengan matlamat asal Felda yang mahu membasmi kemiskinan di kawasan pedalaman.
Inilah sebabnya mengapa situasi ini tidak berlaku semasa di bawah pentadbiran Najib, kerana wang dari sumber luar disalurkan ke dalam Felda, kata Fakhrurrazi.
“Di bawah kerajaan lama, ia dipanggil ‘pendahuluan hasil’ untuk menutup kelemahan ini,” katanya.
“Tetapi kerajaan baru tidak buat macam ini sebab kerajaan mempunyai gambaran yang telus mengenai akaun Felda untuk memulihkannya.”
PH mengumumkan yang ia akan menyusun semula Felda supaya kembali kepada matlamat asalnya untuk menjaga kebajikan peneroka.
Sebahagian daripada usaha itu ialah dengan mendedahkan keadaan sebenar kewangan Felda yang menurut Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali, kini berada dalam keadaan kritikal.
Kertas putih mengenai masalah Felda dijangka akan dibentang di Parlimen pada Oktober sementara kerajaan baharu berusaha untuk menjual aset-aset bukan strategiknya bagi membayar hutang Felda sebanyak RM8.25 bilion. – 11 Ogos, 2018.
Komen