UMNO bersedia menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti, termasuk DAP, kata Setiausaha Agung Annuar Musa, sambil menambah parti Melayu itu tidak boleh lagi tegar dalam Malaysia Baru.
“Kita (Umno) ingin terbuka kepada sebarang pilihan. Formula lama gabungan Barisan Nasional (BN) sudah ketinggalam zaman.
“Kita perlu berbuat demikian dan bersedia menjadi pragmatik. Kita mahu melibatkan diri dengan banyak parti politik dan organisasi lain, termasuklah empat parti politik dalam kerajaan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Annuar merujuk kepada Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Bersatu.
Beliau berkata dalam politik tiada yang mustahil dan beliau menambah Umno bukan hanya melihat kepada kerjasama dengan PAS, tetapi juga dengan Bersatu, PKR dan DAP, jika diberi peluang.
Bekas pengerusi Mara itu turut berkata kerjasama dengan DAP tidak mustahil berlaku jika parti itu bersetuju memenuhi tuntutan Umno yang mahu hak orang Melayu dilindungi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kita menganggap diri kita ini sebagai penjaga Perlembagaan. Perkara-perkara yang ada dalam Perlembagaan adalah sebahagian daripada perjuangan kita. Kalau DAP bersetuju, kita boleh bekerjasama dengan DAP,” kata Annuar.
Ahli Parlimen Ketereh itu juga berkata Umno menjelma semula sebagai sebuah parti yang sesuai dalam abad ke-21.
“Tiada ruang bagi chauvinisme, perkauman. Tiada keganasan. Semuanya mesti berkonsepkan kesederhaaan dan perkongsian. Inilah Umno yang sebenarnya,” kata Annuar.
Jika semuanya berjalan dengan lancar, dalam tempoh dua tahun lagi Umno akan kembali berkuasa, kata bekas menteri itu.
Beliau berkata demikian berdasarkan prestasi PH setakat ini yang diyakininya tidak akan berjaya mengekalkan kerajaan.
“Kita tak fikirkan PRU (pilihan raya umum), kita fikirkan mengenai mengambil alih kerajaan selepas pertengahan tahun.
“Lima tahun itu lama sangat. Kita tak fikirkan PRU15, tetapi fikir untuk mengambil alh pada pertengahan tahun. (Ia) tak mustahil,” kata beliau.
PAS dan Umno bekerjasama ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis yang baru-baru ini diadakan di mana parti Islam itu mengalah bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru dengan PH.
Bagaimanapun, calon PKR Zawawi Ahmad Mughni menang dengan 15,427 undi manakala calon BN Lokman Noor Adam mendapat 9,585 undi. – 10 Ogos, 2018.
Komen