BEKAS ketua menteri Sabah Musa Aman meminta lebih banyak masa untuk mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Undangan Negerii Sabah, kata peguamnya Tengku Fuad Tengku Ahmad.
Beliau berkata, Musa mempunyai masalah kesihatan sebagai sebab penangguhan itu dan menyatakan perkara tersebut dalam suratnya bertarikh 30 Julai kepada Speaker DUN Sabah Syed Abas Syed Ali.
Fuad berkata Musa mengharapkan budi bicara Syed Abas untuk membenarkan penangguhan itu.
“Speaker maklum sepenuhnya tentang keadaan kesihatan Musa.
“Selain itu, Musa juga akan memberi perkembangan lanjut kepada Speaker dan juga menawarkan laporan perubatan penuh kepadanya sekiranya diperlukan,” kata peguam itu dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan media yang Musa dan anaknya, Yamani Hafez mempunyai masa sehingga September dan Januari tahun depan untuk mengangkat sumpah sebagai Adun dan ahli Parlimen.
Musa mempertahankan kerusinya di Sibuga, manakala Yamani menang buat pertama kali di kerusi Parlimen Sipitang pada PRU14 lalu.
Kedua-dua mereka masih belum mengangkat sumpah sebagai Adun dan ahli Parlimen kerana menghilangkan diri. Musa meninggalkan Sabah pada 16 Mei mengikut kata peguamnya.
Musa dilaporkan pergi ke United Kingdom untuk menjalani rawatan perubatan dan belum kembali ke Sabah sejak Mei lalu.
Beliau juga dihendaki polis untuk membantu siasatan ugutan kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin.
Yamani dikatakan mengikut ayahnya ke UK.
Mereka berdepan risiko disingkirkan daripada memegang kerusi DUN dan Parlimen sekiranya gagal mengangkat sumpah dan membolehkan pilihan raya kecil dijalankan.
Musa mempunyai tempoh 90 hari daripada persidangan DUN pertama pada 11 Jun, manakala Yamani mempunyai tempoh enam bulan daripada 16 Julai untuk mengangkat sumpah.
Dewan Rakyat dilaporkan tidak menerima surat daripada Yamani menjelaskan mengapa beliau tidak dapat hadir majlis angkat sumpah. – 9 Ogos, 2018.
Komen