PARA Aktivis Orang Asli yang melawan syarikat-syarikat ladang dan balak menepis dakwaan seorang peladang bahawa pemimpin komuniti mereka menyokong projeknya.
Mereka mendakwa ketua kampung mereka yang dipanggil “tok batin” dan penghulu tidak pernah menyokong projek yang akan memusnahkan tanah adat mereka.
Penafian ini adalah yang terbaru dalam konflik berpanjangan antara mereka dengan peladang dan pembalak serta dengan suku Temiar berkenaan akses ke hutan di Ulu Kelantan sehingga menimbulkan konflik antara kedua belah pihak.
Dua hari lepas, Hanif Mohd Kudus, jurucakap bagi dua firma perladangan terbesar yang beroperasi di Gua Musang, berkata beliau mempunyai surat yang ditandatangani oleh lima ketua suku Temiar yang menyokong projek firmanya.
Hari ini, Ketua Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) Nur Mohd Syafiq Dendi Abdullah berkata tiga daripada nama yang terdapat pada surat itu menafikan dakwaan Hanif.
Penghulu-penghulu itu ialah Abong Lehya dari Kampung Pos Simpor, Seman Senaweng dari Kampung Jader dan Gabon Jernon dari Kampung Sedal.
Nama serta tandatangan mereka tertera pada surat bertarikh Mac 2010, menyatakan mereka menyokong operasi Fleet Precision Sdn Bhd di sekitar kampung Orang Asli di Pos Simpor dan Pos Tohoi. – 9 Ogos, 2018.
Komen