RUU Keganasan Rumah Tangga diluluskan tanpa pindaan


Melati A. Jalil

RANG Undang-undang Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017  diluluskan hari ini tanpa apa-apa pindaan dan hanya melindungi mereka yang berkahwin secara sah.

“Perlindungan di bawah akta tersebut hanya terpakai kepada suami dan isteri yang melalui upacara perkahwinan. Akta ini tidak terpakai kepada pasangan yang tidak mempunyai ikatan perkahwinan walaupun mereka mempunyai hubungan intim,” kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rohani Abdul Karim.

“Walaupun pasangan (yang belum berkahwin) tidak dilindungi di bawah akta ini, seorang mangsa masih boleh membuat laporan mengenai keganasan pelaku dan pelaku boleh dihukum di bawah Kanun Keseksaan, seperti Seksyen 323 dan Seksyen 324,” katanya dalam ucapan penggulungannya mengenai cadangan pindaan kepada akta itu di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, takrif isi rumah tidak boleh diperluaskan lebih jauh kerana ia akan menggagalkan tujuan akta tersebut.

“Terdapat ramai yang menyebut tentang teman lelaki dan teman wanita, saya tidak fikir kita boleh memasukkannya dalam pindaan ini. 

“Kita akan lihat jika ada keperluan pada masa akan datang. Kita perlu beri tumpuan kepada mereka yang diiktiraf secara sah,” katanya.

Salah satu peruntukan yang diperbaiki di bawah pindaan ini adalah prosedur dalam memberikan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO), yang membolehkan pegawai kebajikan masyarakat memberi perlindungan serta-merta kepada mangsa keganasan rumah tangga tanpa perlu membuat laporan polis atau menerima perintah mahkamah. 

EPO akan berkuatkuasa selama seminggu, di mana mangsa boleh pergi ke mahkamah untuk mendapatkan Perintah Perlindungan (PO) atau Perintah Perlindungan Interim (IPO).  – 25 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen