Jakim perlu badan penasihat pakar bukan agamawan, kata Faisal Tehrani


Yasmin Ramlan

Selain fatwa, kita perlu majlis penasihat kepada Jakim yang perlu dianggotai oleh ahli sejarah, sosiologi, sains, teknologi, doktor perubatan, dan bukan hanya ustaz dan ustazah, kata Faisal Tehrani. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Ogos, 2018.

PUTRAJAYA dicadang merombak kaedah pentadbiran Islam dengan membentuk majlis penasihat kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang terdiri daripada pakar profesional termasuk bukan dari aliran agama.

Cadangan itu diusulkan oleh penulis dan pensyarah, Dr Mohd Faizal Musa dalam pembentangannya kepada Majlis Penasihat Kerajaan yang diketuai Daim Zainuddin hari ini.

Faizal atau Faisal Tehrani berkata, sebagai cara hidup, urusan Islam tidak terhad pada ahli agama tetapi perlu pada masukan pelbagai perspektif melibatkan pakar pelbagai bidang.

“Selain fatwa, kita perlu majlis penasihat kepada Jakim yang perlu dianggotai oleh ahli sejarah, sosiologi, sains, teknologi, doktor perubatan, dan bukan hanya ustaz dan ustazah,” katanya ketika ditemui selepas pertemuannya dengan Majlis Penasihat Kerajaan di Kuala Lumpur, hari ini.

Faizal juga meminta isu fatwa diberikan perhatian kerana ia hanyalah pandangan tetapi mempunyai kuasa undang-undang apabila digazetkan.

“Bila ia digazetkan, ia dijadikan undang-undang. Dan bila anda langgar undang-undang itu atau lakukan kesalahan, anda dipenjarakan.

“Kita perlu satu standard. Fatwa boleh menjadi pencabulan hak asasi kalau kita tak betul-betul tangani sebab itu lebih baik kita amalkan satu persekitaran yang sekular untuk negara Malaysia,” katanya.

Jelas beliau, sekular yang dimaksudkannya itu adalah untuk memastikan agama dapat diamalkan dengan sihat.

Katanya, takrifan sekular itu terbuka untuk dibahaskan.

“Tapi kita kena kembali (kepada) asas-asas yang ada dalam negara kita yang telah ditekankan dalam Perlembagaan dan Rukunegara,” katanya.

Beliau turut menyarankan agar nilai agama yang sejagat dan bukan bersifat menghukum kerana perbezaan ditekankan di sekolah.

“Ini paling penting kerana kalau tidak, kita akan mula beri perbezaan-perbezaan tertentu.

“Agama untuk ritual dan sebagainya boleh diajar di (sesi) sekolah petang,” katanya.

Selain Faisal, majlis penasihat kerajaan hari ini turut mengadakan pertemuan dengan ahli sosiologi Syed Farid Alatas, Prof Shad Saleem Faruqi dan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Tambah Faisal, beliau juga membangkitkan soal pengharaman sebuah buku tulisannya pada 2008 yang didakwa mengangkat fahaman Syiah.

“Mufti Perlis ada komen bahawa pengharaman buku ini merupakan satu proses yang mudah dan tidak sepatutnya berlaku.

“Kita hanya boleh mengkritik tapi tak boleh mengharamkan.

“Saya harap, saya beritahu mereka, ini Malaysia Baharu, saya kata kita mesti lakukan sesuatu yang lebih baik. Malaysia untuk semua,” katanya.

Sementara itu, Syed Farid berkata masalah pertikaian antara Syiah dan Ahli Sunnah Wal Jamaah perlu ditangani secara berhemah dan bukan sehingga menyebarkan kebencian antara satu sama lain “yang terkeluar dari tradisi Ahli Sunnah Wal Jamaah.”

“Dalam erti kata, kita menanganinya dengan menyebarkan ajaran benci,” jelasnya.

Syed Farid berkata ini berlaku keadaan apabila agamawan dan ahli politik mencaci dan memaki golongan Syiah dengan melabelkan mereka terkeluar daripada Islam atau sesat.

“Jadi ada masalah dalam budaya kita sebagai orang Islam. Itu semuanya harus ditangani atau harus dielakkan.

“Kita mesti ambil sikap yang lebih terbuka terhadap dalam perbezaan dalam agama.

“Kita sebagai majoriti adalah Ahli Sunnah Wal Jamaah harus mengambil sikap lebih terbuka pada perbezaan,” katanya. – 9 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen