Berdasarkan PRK Sg Kandis, bukan Melayu semakin tinggalkan BN


Chan Kok Leong

Retorik kaum dan agama digunakan Umno menyebabkan Barisan Nasional terus gagal meraih undi bukan Melayu. Undi Melayu pula terpecah kepada tiga- PAS, Umno dan Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Ogos, 2018.

PAKATAN senyap antara Barisan Nasional dan PAS pada Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis hanya menjauhkan pengundi bukan Melayu. 

Menurut data Pusat Daerah Mengundi (PDM), BN gagal meraih banyak undi di tiga PDM majoriti bukan Melayu- Taman Sri Andalas 2, Jalan Raya Timur dan Bandar Putri Klang.

Jalan Raya Timur mempunyai 24% pengundi Melayu, 31% Cina dan 43% India, manakala Bandar Putri Klang mempunyai 40% undi Melayu, 31% Cina dan 28% India. Taman Sri Andalas 2 pula mempunyai 48% undi Melayu, 16% Cina dan 24% India.

PRK yang diadakan Sabtu lalu menyaksikan calon Pakatan Harapan, Zawawi Ahmad Mughni menang dengan 5,842 majoriti meraih 15,427 undi.

Pesaingnya, Lokman Noor Adam (BN) pula mendapat 9,585 undi dan calon bebas K Murthy mendapat 97 undi.

Hanya 49.4% daripada jumlah pengundi keseluruhan 50,800 kawasan itu turun mengundi.

PAS memutuskan tidak bertanding untuk memberi peluang kepada BN mencabar PH secara langsung.

Walaupun PAS tidak bertanding, BN masih mencatat peningkatan terendah di tiga PDM iaitu - 0.5% (Taman Sri Andalas 2), 3% (Jalan Raya Timur) dan -1.8% (Bandar Putri Klang) berbanding PDM lain.

Dalam PDM majoriti Melayu (atas 60%) pula, purata peningkatan undi kepada BN adalah 10% dalam jumlah pengundi disebabkan pertandingan terus.

BN gagal menarik pengundi bukan Melayu kerana kebergantungannya kepada retorik kaum dan agama, kata Prof Dr Awang Azman Awang Pawi.

Pensyarah Universiti Malaya itu berkata pendekatan diambil Umno menjadikan BN hanya mampu meraih undi satu kaum sahaja.

“Tidak ada insentif untuk pengundi bukan Melayu memilih mereka ketika ini. Tambahan pula, MCA dan MIC bukan lagi tandingan DAP dan PKR,” kata pakar pengajian Melayu itu.

“MCA tak nampak langsung ketika kempen dan kehadiran Najib Razak tak beri nilai tambah,” tambah Awang Azman.

Katanya, Umno terperangkap dalam kitaran ganas retorik kaum dan agama.

“Perjuangan Umno sentiasa kaum dan agama dan tanpanya, mereka tak boleh menang undi konservatif Melayu.

 “Tetapi benar juga yang BN hanya beri tumpuan kepada undi Melayu dalam Malaysia yang pelbagai kaum. Walaupun orang Melayu adalah 60% daripada jumlah penduduk Malaysia, undinya terpecah kepada tiga- PAS, Umno dan Pakatan Harapan,” katanya lagi.

Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya, Ilham Centre menjangkakan Umno menang 45% undi Melayu, PAS 32% dan PH meraih 23%. – 9 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen