Muslim dan kena nikah cepat? Thailand selesaikan semuanya


Yasmin Ramlan

Undang-undang nikah yang rumit untuk berkahwin tanpa wali atau berpoligami mendorong pasangan Islam di Malaysia memilih bernikah di thailand. – Gambar EPA, 26 Julai, 2017.

TIDAK mendapat restu ibu bapa, keengganan isteri pertama beri izin berpoligami dan laluan mudah menjadi sebab utama ramai pasangan beragama Islam di Malaysia bernikah di Thailand.

Undang-undang pernikahan yang rumit menjadi faktor pasangan Islam di Malaysia memilih untuk bernikah di selatan Thailand, kata ejen nikah di sana.

Pengasas agensi nikah di selatan Thailand Arjuna Beta Biz Mohd Asri Hamzah berkata, memandangkan proses pernikahan terbahagi kepada dua iaitu mengikut syarak dan perundangan Malaysia, pasangan akan mencari jalan mudah mengikut syarak terlebih dulu iaitu dengan bernikah di selatan Thailand sebagai alternatif.

“Sekurang-kurangnya mereka memilih jalan baik untuk elakkan zina, anak luar nikah dan sebagainya yang akan memberi impak lebih besar kepada masa depan orang Islam,” katanya.

Asri berkata, pasangan berkenaan kemudian akan melakukan proses pendaftaran di negara ini dan mendapatkan sijil nikah Malaysia di majlis agama negeri masing-masing.

“Kerajaan ada hak dan sebab untuk memantau setiap pernikahan di Malaysia. Ini menyebabkan proses perundangan di Malaysia menjadi terlalu rumit dan memerlukan masa panjang untuk diputuskan mahkamah,” katanya.

Seorang ejen nikah di sempadan Thailand yang hanya mahu dikenali sebagai Ridzwan berkata, majoriti pasangan bernikah di sempadan Thailand terdiri daripada mereka yang berpoligami atau wali tidak bersetuju dengan pasangan yang dipilih.

“Bagi yang berpoligami, mereka perlu mendapatkan kebenaran isteri pertama. Isteri tak bagi kahwin tapi mereka nak juga kahwin,” katanya.

Mengikut perundangan syariah di Malaysia, lelaki dibenarkan berpoligami tetapi perlu memenuhi beberapa syarat.

Setiap negeri ada syarat berbeza berkaitan poligami. Contohnya di Perak, suami yang hendak berpoligami tidak perlu memohon kebenaran mahkamah. Namun berlainan di Selangor dan Kuala Lumpur, di mana di kedua-dua negeri ini, suami perlu mendapatkan kebenaran mahkamah syariah terlebih dulu.

Bagi mereka yang wali enggan mewalikan perkahwinan akan menggunakan perkhidmatan agensi ini kerana perlu merahsiakan pernikahan daripada keluarga dan memerlukan wali hakim bagi memenuhi syarat nikah.

Ridzwan berkata, kebanyakan yang menghadapi masalah seperti itu terdiri daripada pelajar universiti.

Peranan wali dalam pernikahan amat penting kerana ia salah satu rukun nikah. Pernikahan dilaksanakan tanpa wali tidak sah daripada segi hukum syarak.

Jarak tempat akan dijalankan akad nikah dengan tempat tinggal wali bermastautin hendaklah melebihi dua marhalah atau 92km bagi melayakkan pasangan menggunakan perkhidmatan wali hakim.

Kedudukan wali bermastautin kurang dua marhalah boleh menyebabkan pernikahan itu tidak sah.

Fazlina Azman (bukan nama sebenar), 22 memilih bernikah di Thailand melalui ejen kerana merasakan ia jalan terbaik mengelak menggunakan wali nasab (ahli keluarga lelaki pengantin perempuan).

“Proses nikah di sana sangat senang.

“Hubungan saya dan bapa kandung ada masalah. Seingat saya masa kecil dulu kami sekeluarga bergaduh besar sehingga saya tidak mahu berwalikannya.

“Saya tak nak berwalikan dia. Saya nak berwalikan hakim,” katanya, menambah hanya beberapa ahli keluarganya yang tahu mengenai hal ini.

Fazlina yang merupakan seorang paramedik dan suaminya jururawat terpaksa menyembunyikan pernikahan mereka daripada pengetahuan orang ramai terutama keluarga besar mereka.

“Saya asal Sabah, suami Johor. Bila keluarga saya tanya di mana nikah, saya akan cakap di Johor dan kepada sebelah keluarga suami pula kami katakan sebaliknya.

“Bukan saya tidak mahu beritahu kami nikah di Thailand. Tapi tak semua dapat terima. Saya ada sebab saya,” katanya.

Nikah melalui ejen lebih murah

Asri dan Ridzwan berkata, mereka mengendalikan kira-kira 20 pasangan sebulan dengan kos bayaran antara RM1,800 sehingga RM2,000.

Caj merangkumi kos pengangkutan, penginapan di hotel untuk dua hari satu malam, makan dan minum, bayaran nikah, salinan dokumen dan bayaran konsulat.

Bagaimanapun, bayaran berlainan dikenakan bergantung kepada pakej dan perkhidmatan yang ditawarkan.

“Disebabkan kegawatan ekonomi dan nilai mata wang Malaysia susut berbanding Baht Thailand, sedikit sebanyak mengganggu kedatangan pasangan pada tahun ini,” kata Asri.

Beliau yang mengusahakan perkhidmatan ini sejak dua tahun lalu berkata, jumlah pasangan tahun ini merudum iaitu 12 pasangan berbanding 20 pasangan sebulan pada tahun lalu.

Ridzwan berkata beliau tidak melihat perkhidmatan ini sebagai satu perniagaan kerana menganggap ia bukan untuk mengaut keuntungan, tetapi membantu mereka memudahkan proses pernikahan.

“Kalau dikira kos nikah ke sana tanpa melalui ejen pun lebih kurang sama dengan kos yang kami tawarkan.

“Ramai orang tidak tahu proses nikah di selatan Thailand,” katanya yang menawarkan perkhidmatannya sejak 2010.

Sah atau tidak

Peguam Syarie Ab Kadir Ismail berkata, selagi pernikahan itu mencukupi lima rukun nikah yang ditetapkan dalam Islam, ia sah.

Rukun nikah menetapkan adanya pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, dua saksi, dan akad dan nikah.

Setelah pasangan selesai bernikah di Pejabat Agama Islam Thailand (di wilayah yang ditetapkan), mereka perlu hadir di Pejabat Konsulat Malaysia untuk mengambil surat pengesahan.

Kadir yang pernah menyaksikan pernikahan pasangan Malaysia di selatan Thailand berkata, surat pengesahan nikah amat penting bagi mendaftarkan pernikahan untuk mendapatkan sijil nikah Malaysia.

Katanya, ini membolehkan pernikahan pasangan dilindungi di bawah undang-undang Malaysia dan memudahkan pelbagai urusan pada masa depan seperti mendaftarkan anak di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), pembahagian harta pusaka dan tuntutan harta sepencarian.

“Kita tidak galakkan dan tidak elakkan (bernikah di Thailand). Sebenarnya salah pasangan itu sendiri jika terpaksa menanggung risiko. Pasangan ada pilihan untuk mengelakkan diri daripada menanggung risiko.

“Sebab itu saya selalu nasihatkan buat secara teratur.

“Kita juga tidak boleh ‘double standard’ nikah di selatan Thailand dan di Malaysia. Mereka juga orang Islam. Kita tidak boleh hina orang Islam,” katanya.

Ramai pasangan buta undang-undang

Rizdwan berkata terdapat lima majlis agama di Thailand yang diiktiraf untuk mengeluarkan sijil perkahwinan bagi pasangan Islam Malaysia iaitu di Songkhla, Satun, Narathiwat, Pattani dan Yala.

Katanya, berdasarkan pengalamannya mengendalikan pasangan bernikah, ramai pasangan tidak betul-betul memahami proses bernikah dan kebanyakan perlu diberikan pendedahan mengenai undang-undang pernikahan.

“Contohnya sebelum ini ada pasangan dari Selangor, isteri orang belum jatuh talak tapi nak kahwin. Ia akan jadi satu masalah bila orang tidak tahu undang-undang.

“Saya berharap pejabat agama tidak hanya pecah masuk rumah orang tengah malam saja (tangkap khalwat), tetapi didik orang ramai (mengenai hal pernikahan) sebab ramai tidak tahu undang-undang,” katanya. – 26 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen