Kumpulan peneroka sanggup lepaskan janji 100 hari kerana pengerusi baharu Felda


Sheridan Mahavera

Pengerusi Anak Mazlan Aliman menunjukkan kertas cadangan penambahbaikan bina semula Felda pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan pengerusi agensi itu di Menara Felda, Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 9 Ogos, 2018

PENGERUSI baharu Felda mendapat pujian daripada kumpulan kebajikan peneroka kerana kesanggupan beliau untuk melihat semula masalah berhubung skim perladangan era Merdeka.  

Oleh itu, kumpulan berkenaan - yang lantang mengkritik dalam kalangan satu juta peneroka dan keluarga mereka - sanggup melupakan janji 100 hari kerajaan baharu untuk skim yang akan tamat minggu depan. 

Kerajaan baharu Pakatan Harapan berjanji untuk menghapuskan hutang “tidak munasabah” dengan agensi itu yang ditanggung peneroka Felda sekiranya memenangi Putrajaya. 

Jurucakap kepada enam kumpulan berkenaan Mazlan Aliman berkata, mereka sanggup menerima penangguhan dalam memenuhi janji mereka selagi ada pelan rancangan konkrit bagaimana untuk menyelesaikan masalah Felda. 

“Sasaran itu nampaknya tidak akan dicapai kerana sudah hampir 100 hari. Pengerusi baharu Megat Zaharuddin Megat Mohamad Nor mengakui adalah sukar untuk memenuhi janji ini,” kata Mazlan kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Megat Zaharuddin di ibu pejabat Felda hari ini. 

“Kita faham ia adalah sukar. Tarikh akhir 100 hari itu perkara kedua. Apa yang kita mahu lihat adalah komitmen dan pelan tindakan atau mekanisme ke arah untuk mencapainya. 

“Barulah kita boleh terima,” kata Mazlan yang merupakan presiden Anak, kumpulan generasi kedua peneroka. 

Anak merupakan sebahagian daripada enam badan peneroka yang bernaung di bawah Majlis Permuafakatan NGO Felda yang ditubuhkan selepas Pillihan Raya Umum ke 14 bagi meluahkan suara kolektif peneroka Felda. 

Majlis itu mengadakan pertemuan kali pertamanya dengan Megat Zaharuddin Megat Mohamad Nor, yang dilantik sebagai pengerusi baharu agensi itu kurang dua minggu lalu. 

Megat mengambil alih jawatan itu berikutan kemenangan bersejarah Pakatan Harapan pada PRU14. Beliau menggantikan Shahrir Samad, yang berkait rapat dengan pentadbiran Barisan Nasional. 

Ini merupakan pertemuan pertama kumpulan itu kerana sebelum ini Anak dan kumpulan peneroka yang lain tidak pernah mengadakan pertemuan dengan pengurusan atasan Felda ketika pentadbiran BN. 

Mazlan berkata, majlis itu meluangkan masa lebih tiga jam bagi memberi taklimat kepada pengerusi baharu dan pegawai atasan mereka berhubung masalah peneroka. 

“Dari apa yang kami lihat, beliau merupakan seorang yang komited dengan rancangannya untuk membina semula Felda. Beliau mendengar apa yang kami katakan, mencatat nota malah turut bertanyakan butiran tambahan. 

Masalah itu termasuklah kegagalan anak syarikat agensi itu untuk menguruskan pegangan minyak sawit dengan baik, jumlah hutang misteri yang dtanggung mereka dan skim perumahan generasi kedua peneroka yang terbengkalai. 

Majlis itu turut menggesa pengerusi baharu itu melengkapkan sekurang-kurangnya 1,234 rumah yang separuh siap menjelang akhir tahun ini, kata Mazlan. Ini merupakan sebahagian daripada lebih 8,000 buah rumah yang tinggal.

“Kami juga memaklumkan kepada pengerusi untuk membersihkan pengurusan atasan Felda. Ada dalam kalangan pegawai atasannya pernah disiasat kerana rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.”

nidivu terbabit, dakwa Mazlan, mempunyai kaitan dengan bekas pengerusi agensi itu Mohd Isa Samad yang disiasat beberapa kali oleh SPRM. 

“Jika mereka tidak dibuang, maka rancangan beliau untuk membina semula Felda akan terjejas.” – 9 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen