PEMUDA Pakatan Harapan (PH) akan menjadikan peluang pekerjaan dan rumah mampu milik sebagai keutamaan mereka dalam manifesto pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
Ini termasuklah menyediakan jutaan peluang kerja kepada tenaga kerja separuh mahir, pekerja mahir dan perumahan mampu milik sekiranya pakatan pembangkang menawan Putrajaya.
Timbalan Ketua Pemuda Amanah Faiz Fadzil berkata, peluang pekerjaan boleh disediakan dalam sektor 3D (dirty - kotor, difficult- sukar, dangerous- bahaya) dengan menaikkan pendapatan minimum daripada RM1,000 kepada RM1,500.
Faiz turut menolak kenyataan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi golongan belia tidak meminati sektor 3D, menyebabkan majikan mengambil pekerja asing untuk memenuhi jawatan itu.
“Kita akan adakan peluang pekerjaan untuk pekerja mahir dan separa mahir kepada graduan berkelayakan.
“Kita juga akan tingkatkan upah buruh untuk menarik minat warga tempatan bekerja di sektor 3D. Zahid berkata orang Malaysia tidak minat bekerja di sektor 3D. Saya rasa kenyataan itu tidak berasas,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat Amanah Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata kenaikan RM500 akan dibiayai bersama oleh kerajaan dan majikan menggunakan mekanisme perkongsian kos yang adil, dan pelan itu akan dilaksanakan dalam lima tahun pertama pentadbiran PH.
Pemuda PH juga menyasarkan penyediaan satu juta rumah mampu milik pada tahun 2020 dan menubuhkan sebuah badan yang bertanggungjawab menyediakan rumah mampu milik.
Mekanisme “x-change perumahan” juga akan ditubuhkan untuk memastikan rumah mampu dimiliki hanya untuk mereka memerlukannya bagi membendung spekulasi harta benda, termasuk menubuhkan harga siling kebangsaan untuk rumah mampu milik antara RM250,000 dan RM300,000, bergantung kepada lokasi.
Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan bahawa isu buruh asing masih belum dapat diselesaikan walaupun beberapa langkah diambil kerana Malaysia mengikuti model ekonomi berpendapatan rendah.
Nik Nazmi, yang merupakan Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan dan Inovasi Selangor berkata model ini digunakan banyak negara, tetapi gaji minima di sini tidak meningkat.
“Kita terikat (kepada model ekonomi), jadi apabila rakyat tidak dapat hidup dengan gaji rendah, kita menggaji pekerja asing,” kata Nik Nazmi.
Menggunakan kerajaan Selangor yang diketuai PKR sebagai contoh, beliau berkata Pemuda PH akan memfokuskan diri untuk menyediakan latihan vokasional sebagai alternatif dan tidak bergantung pada model ekonomi berpendapatan rendah yang menggalakkan pengambilan pekerja asing. – 25 Julai, 2017.
Komen