AHLI Majlis Ampang Jaya Ten Kit Loong jadi calon pilihan akar umbi DAP untuk bertanding di Balakong berbanding bekas wartawan penyiaran Yunna Tan.
Ten adalah salah satu daripada tiga nama dihantar lima daripada tujuh cawangan DAP di Balakong kepada Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming ketika pertemuan pada Rabu.
Dua lagi nama yang dihantar ialah pemimpin DAP Serdang- Duncan Lee Ching Hung dan Chan Huan Guan- tetapi Ten lebih popular dalam kalangan akar umbi.
“Beliau adalah yang paling muda antara 23 ahli majli Ampang (Jaya) yang mengangkat sumpah 27 Julai lalu,” kata akar umbi kepada The Malaysian Insight.
The Malaysian Insight sedang menunggu respons Ong terhadap perkara ini.
Ten menyertai DAP pada 2011 dan pernah bekerja di ibu pejabat parti.
Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Ekonomi Rantau dan Industri dari universiti ternama, National Taiwan University.
Dilaporkan sebelum ini yang bekas pengacara Astro AEC Yunna Tan dihubungi pemimpin DAP untuk dipertimbangkan sebagai calon pilihan raya kecil itu.
Beliau meletak jawatan dari Astro bulan lepas dan menyertai DAP baru-baru ini.
Pemimpin akar umbi DAP Balakong percaya Ten lebih layak menjadi calon berbanding Tan berdasarkan pendidikan, keupayaan bahasa, pengalaman berkhidmat dan politik serta tempoh berada dalam parti.
Mendiang Adun Balakong Ng Tien Chee juga berkhidmat sebagai ahli majlis sebelum menjadi wakil rakyat.
Ng terbunuh dalam kemalangan kereta pada 20 Julai lalu.
Ng menang di Balakong dengan majoriti 35,538 undi dalam pertandingan tiga penjuru melawan PAS dan MCA pada PRU14. PAS mendapat 6,230 undi, 356 undi lebih banyak berbanding MCA.
Penamaan calon PRK Balakong akan diadakan pada 18 Ogos dengan tempoh berkempen 21 hari dan hari pengundian ditetapkan pada 8 September. – 9 Ogos, 2018.
Komen