Undang-undang perkahwinan baharu ambil kira sudut pandangan tradisional


Jason Santos

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Liew Vui Keong (barisan depan, enam dari kiri) merasmikan kompleks mahkamah Kota Kinabalu yang baharu hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 9 Ogos, 2018.

KERAJAAN akan melihat kedua-dua sudut pandangan tradisional dan undang-undang dalam perbincangan untuk menaikkan had umur minimum perkahwinan bagi kanak-kanak perempuan daripada 16 tahun kepada 18 tahun, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Liew Vui Keong hari ini.

Menurutnya, perkahwinan bawah umur adalah menjadi amalan tradisi bagi beberapa budaya di Sabah dan Sarawak, dan rumusan undang-undang baharu berkenaan perkahwinan mestilah mengambil kira pandangan mereka.

“Saya telah adakan perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan semua pihak berkepentingan yang berkaitan berkenaan menaikkan had umur minimum (perkahwinan).

“Perbincangan buat masa ini masih lagi terbuka, kita perlu melihat kepada pelbagai implikasi yang mungkin boleh timbul daripada perkahwinan bawah umur di negara ini,” beliau memberitahu pemberita selepas merasmikan kompleks mahkamah Kota Kinabalu yang baharu.

Liew mengulas mengenai lelaki berusia 41 tahun di Gua Musang, Kelantan yang mengahwini budak perempuan berusia 11 tahun di Thailand sebagai isterinya yang ketiga pada 18 Jun lalu.

Kanak-kanak perempuan berusia bawah 16 tahun dibenarkan berkahwin dengan syarat mendapat persetujuan ibu bapa dan ketua menteri atau menteri nesar di negeri masing-masing.  

Liew berkata apa sahaja yang diformulasikan undang-undang baharu mestilah mengutamakan kepentingan kanak-kanak itu dahulu dan kerajaan akan memperbaiki sebarang kelemahan yang boleh dieksploitasi pedofilia. – 9 Ogos, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen