Putrajaya tarik balik pengharaman buku Zunar kritik Najib


Bede Hong

Kartunis Zunar menunjukkan bukunya yang kini tidak lagi diharamkan, Sapuman: Man of Steal selepas KDN menarik balik larangannya hari ini. – Gambar Facebook, 9 Ogos, 2018.

PUTRAJAYA mengarahkan pembatalan larangan terhadap buku karya kartunis Zunar bertajuk “Sapuman: Man of Steal” berkuat kuasa serta-merta.

Arahan itu dibuat oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang juga pemangku menteri dalam negeri pada Khamis lalu, menurut satu surat dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) kepada Pejabat Peguam Negara, yang dilihat oleh The Malaysian Insight.

Perintah itu diserahkan secara rasmi kepada ketua jabatan sivil dan peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan semalam.

Buku itu yang mengkritik bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor, diharamkan pada September oleh pentadbiran kerajaan terdahulu.

Cabaran Zunar terhadap larangan pengharaman itu, yang difailkan pada Januari, pada awalnya ditetapkan untuk didengar di mahkamah hari ini. KDN pada Jun berkata ia akan menyemak semula pengharaman buku itu.

Ketika dihubungi, Zunar berkata mahkamah hari ini juga memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi, dengan jumlahnya akan ditentukan oleh pendaftar.

“Kejayaan ini bukan saja untuk saya tetapi semua kartunis, artis dan penerbit,” katanya.

“Pampasan itu sebagai mengiktiraf tanggungjawab kerajaan. Ini penting kerana ia bermakna mana-mana kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya mengharamkan mana-mana buku.”

“Sapuman: Man of Steal” ialah buku Zunar yang kesembilan yang diharamkan. – 9 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen