Kami jadi mangsa, kata peladang di Gua Musang 


Noel Achariam

Sekatan jalan yang dibuat oleh Orang Asli sejak enam bulan lalu di Gua Musang.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Ogos, 2018

PEKERJA syarikat ladang durian di Kelantan mendakwa menjadi mangsa sekatan oleh Orang Asli di Gua Musang dan meminta perlindungan daripada kerajaan, kata syarikat yang menguruskan ladang itu.

Lembaga pengarah M7 Plantation Sdn Bhd berkata bukan mereka menjadi punca sekatan secara salah itu, yang dibuat oleh individu yang mendakwa mereka mewakili masyarakat Orang Asli sejak enam bulan lalu. 

“Kami merayu kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menegakkan “undang-undang” yang beliau janjikan selepas mengambil alih Putrajaya pada Mei tahun ini. 

“Kami menggesa semua agensi kerajaan menunaikan janji ini.

“Kami gesa pihak polis untuk menegakkan “undang-undang” bagi memastikan kebebasan untuk menggunakan jalan awam dan kebebasan untuk memasuki tanah milik kami. 

“Syarikat mahukan perlindungan sama rata di bawah undang-undang,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan. 

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan masyarakat Orang Asli kekal membuat sekatan jalan itu sejak lima bulan lalu sebagai usaha untuk menghalang operasi perladangan yang dakwa mereka, ia dijalankan di atas tanah adat mereka. 

Pada 2 Ogos lalu, sekatan masyarakat itu menerima sokongan kuat dariipada timbalan menteri pembangunan luar bandar dan wilayah Sivarasa Rasiah, yang berkata adalah menjadi hak mereka untuk mempertahankan tanah mereka. 

Beliau turut berjanji sebarang ancaman fizikal kepada aktivis akan diselesaikan dengan pihak berkuasa. 

M7 berkata mereka telah memenuhi semua syarat undang-undang tanah yang relevan dalam proses untuk membangunkan perladangan itu. 

“Walaupun tanaman utama kami adalah durian Musang King, kami turut menanam hasil lain sebagai salah satu daripada strategi kepelbagaian kami. 

“Ini dilakukan dengan kebenaran kerajaan negeri Kelantan.”

Syarikat itu turut menafikan menggunaan kekerasan untuk menyuraikan sekatan pada 4 Ogos lalu. 

“Kami menafikan dakwaan tidak berasas ini yang juga merupakan fitnah. 

“Rekod menunjukkan kami menggunakan laluan alternatif yang mempunyai risiko dan kos yang tinggi untuk mengelakkan sekatan itu.”

M7 berkata, sekatan yang dibuat itu bukan pada tapak ladang syarikat berkenaan tetapi pada laluan awam untuk ke ladang mereka yang turut memberi kesan kepada pengguna lain. 

“Syarikat ini menjalankan perniagaan yang sah membuka ladang durian moden dan tidak terlibat atau tidak menjadi pihak kepada sebarang perselisihan antara jabatan atau agensi kerajaan atau persekutuan.
 
“Syarikat ini tidak terbabit dengan sebarang pertikaian dengan Orang Asli berhubung hak tanah mereka dan tiada sebarang tindakan undang-undang yang memberi kesan kepada syarikat atau tapak ladang.”

M7 turut menggesa semua pihak untuk menyelesaikan perkara itu menerusi perbincangan sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri dan sekiranya ia gagal, mereka akan membawa perkara itu ke mahkamah. 

Syarikat itu turut menjelaskan keperluan untuk perlindungan kerana menurut mereka pokok durian muda amat berharga dan perlu kawalan keselamatan, serta memerlukan CCTV. 

M7 berkata, ada kalanya ia menggunakan helikopter untuk pengarah dan rakan kongsi mereka ke tapak ladang itu. 

Laluan darat dari Kuala Lumpur mengambil masa enam hingga tujuh jam, sebab itu mereka memerlukan pad pendaratan helikopter. – 9 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen