JABATAN Tanah dan Galian mematuhi permintaan oleh syarikat berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) untuk mengubah pemilikannya ke atas tiga lot tanah di negeri ini.
Selain itu, kerajaan juga telah membuat kaveat untuk menyekat sebarang transaksi tanah itu.
Bagaimanapun Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata sehingga Jun tahun ini, pihak berkuasa tempatan belum menerima sebarang permohonan bagi kebenaran merancang untuk membangunkan tiga lot tanah berkenaan.
1MDB menerusi syarikat 1MDB RE (Ayer Itam) Sdn Bhd, memiliki tiga tanah di pinggir bandar di Air Itam dan Paya Terubong, masing-masing berkeluasan 61.069 meter persegi, 15,681 meter persegi dan 18,265 meter persegi.
“Jabatan Tanah dan Galian menerima surat guaman pada 14 April mengatakan bahawa 1MDB RE (Ayer Itam) Sdn Bhd menukar namanya kepada Ayer Itam Properties Sdn Bhd.
“Syarikat berkenaan memohon pemilikan lot tanah berkenaan ditukar kepada nama baharu, namun kerajaan negeri masih belum berbuat demikian,” kata Chow (PH-Padang Kota) ketika menjawab soalan lisan oleh Joseph Ng (PH-Air Itam).
Bulan lalu di Dewan Rakyat, status tiga lot tanah berkenaan turut dipersoalkan oleh Ahli Parlimen Bukit Bendera Wong Hon Wai dari Pakatan Harapan.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam jawapannya pada 19 Julai berkata, pemilikan tanah 1MDB di Pulau Pinang sudah dijual kepada syarikat berpangkalan di Pulau Cayman.
Silk Road Southeast Asia Real Estate Ltd berpangkalan di George Town di Grand Cayman, kepulauan Cayman terbesar dalam Wilayah Seberang Laut British di Caribbean.
Transaksi itu berlaku hampir setahun lalu. Wang sudah dibayar namun sahamnya masih belum dipindahkan.
Jualan tanah di Air Itam itu berlaku ketika kerajaan Pulau Pinang membekukan semua transaksi berkaitan tanah 1MDB.
Arahan pembekuan itu dibuat oleh Lim beberapa tahun lalu ketika beliau menjadi ketua menteri Pulau Pinang untuk memaksa 1MDB menjelaskan skandal hutang berbilion ringgitnya dan pemilikan tanah di Air Itam.
Sehari sebelum pilihan raya umum 2013, perdana menteri ketika itu Najib Razak, yang merupakan pengasas 1MDB, mengumumkan kerajaan persekutuan BN akan membina 9,999 unit rumah kos rendah di Air Itam.
Pada 2016, tanah di Air Itam dan hartanah 1MDB lain ditukarkan ke Kementerian Kewangan, yang turut dikawal oleh Najib yang merupakan menterinya. – 9 Ogos, 2018
Komen