Kertas putih Felda akan dikeluarkan, aset akan dijual 


Bede Hong

Situasi kritikal kewangan Felda didakwa berpunca daripada pentadbiran sebelum ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Ogos, 2018

KERAJAAN akan membentangkan usul Kertas Putih berhubung prestasi kewangan Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan (Felda) pada persidangan Dewan Rakyat seterusnya pada Oktober, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali. 

Kertas putih itu akan mengandungi maklumat masalah kewangan terkini Felda yang berpunca daripada salah urus oleh pentadbiran sebelum ini, katanya ketika sesi soal jawab di Parlimen hari ini. 

Kertas putih merupakan laporan kerajaan yang memberi maklumat terhadap sesuatu isu. 

“Felda mengalami masalah aliran wang yang kritikal,” kata Azmin dan menambah Putrajaya akan menjual aset tidak strategik Felda di sini dan luar negara sebagai sebahagian daripada proses penstrukturan semula bagi mengatasi masalah “kritikal” pendapatan agensi itu. 

Azmin berkata keutamaan bagi lembaga pengarah dan pengurusan baharu adalah untuk membantu menangani masalah isu aliran tunai Felda “menerusi perbincangan dengan penghutang” bagi menstruktur semula hutangnya, yang melebihi RM8.025 bilion. 

“Langkah utama kita adalah menjual aset tidak strategik di sini dan di luar negara,” katanya.

Tambahnya, fokus utama Felda adalah bagi mengekalkan kewajipan berkanun kepada peneroka Felda. 

“Kerajaan baharu mahu memastikan pinjaman kos sara hidup dan wang pendahuluan akan terus diagihkan pada masanya. 

“Situasi kritikal kewangan Felda adalah legasi daripada pentadbiran sebelum ini, yang melemahkan tadbir urus dan pengurusan kewangan yang tidak bertanggungjawab. 

“Kerajaan baharu komited untuk membantu Felda secepat mungkin untuk kepentingan peneroka sejajar dengan Akta Pembangunan Tanah,” katanya.

Sementara itu, Azmin berkata Felda pada 2012 telah menukarkan 400,000 hektar tanah kelapa sawit kepada FGV Holdings Sdn Bhd untuk kegunaan penerokaan dan penyenaraian. 

Butiran pemindahan itu akan disertakan ada kertas putih. 

Terdahulu Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) embangkitkan isu berkenaan, dan mendakwa hanya 9,000 hektar tanah ditukarkan kepada peneroka Felda setakat ini. 

Ma’mun juga bertanya sama ada kilang produk Tawau Oil, yang merupakan anak syarikat Felda Vegetable Oil Products Sdn Bhd, masih beroperasi. 

Azmin berkata, kedua-dua syarikat berkenaan bukan milik Felda dan menambah bagaimanaun FGV Holdings Bhd tidak menutup kilangnya di Tawau dan masih dalam proses rasionalisasi. 

FGV holdings, sebuah entiti komersial, sebelum ini dikenali sebagai Felda Global Ventures Holdings. Ia sebelum ini menjalankan proses penjenamaan semula dalam usaha untuk menjauhkannya daripada organisasi yang terpalit dengan skandal seperti Felda Investment Corporation.

Bekas pengerusi Malayan Banking Bhd, Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor dilantik sebagai pengerusi Felda pada 27 Julai. 

Beliau menggantikan Shahrir Samad, yang mengambil alih jawatan itu pada Januari lalu selepas bekas pengerusinya Isa Samad disiasat berhubung erjanian tanah Jalan Semarak, Kuala Lumpur berharga RM270 juta tahun lalu. – 9 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen