ABU Bakar Taib merasakan hidupnya sebagai peneroka Felda semakin sukar dalam “Malaysia Baharu”.
Sejak Jun, Abu Bakar dan jiran-jirannya mendakwa elaun sara hidup bulanan mereka daripada Felda tergendala.
Mereka juga mendakwa harga buah kelapa sawit musim ini jauh lebih rendah dibandingkan tempoh sama tahun lepas dan kerajaan baharu tidak berbuat apa-apa mengenainya.
Apabila mereka bertanyakan perkara itu kepada pengurusan Felda, mereka hanya diberitahu yang elaun tergendala kerana perubahan kerajaan yang berlaku selepas pilihan raya bersejarah 9 Mei.
“Dia (pengurusan) beritahu kerana tiada pengerusi baru, pembayaran elaun sara hidup tergendala,” kata Abu Bakar diiringi dengan anggukan setuju lima lagi rakan peneroka di Felda Mempaga 3, lebih kurang 20 minit memandu dari bandar Bentong, Pahang.
Enam peneroka dalam usia 60-an itu yang berkumpul di sebuah kedai kopi memberitahu The Malaysian Insight bagaimana kehidupan mereka berubah dalam tiga bulan selepas Pakatan Harapan berjaya mengambil alih Putrajaya kerana gelombang peralihan sokongan penduduk bandar dan luar bandar.
Seorang lagi peneroka dari Felda Mempaga Dua mencelah menyuarakan ketidakpuasan hati mereka:
“Pertukaran kerajaan langsung tak untungkan peneroka. Biarlah mereka yang undi PH tu baru rasa kesan undi mereka,” kata peneroka berusia 59 tahun yang hanya mahu dipanggil Hashim.
Penempatan 269 Felda di seluruh negara adalah kubu kuat Barisan Nasional terutama sekali kepada parti orang Melayu, Umno.
Pada pilihan raya lepas, BN biasanya mampu meraih sehingga 80% undi menerusi peneroka yang secara terkumpul menjangkau sejuta pengundi.
Tetapi pada PRU14, sebahagian besar pengundi Felda- antara usia 20 hingga 40- memberikan undi mereka kepada PH. Peralihan undi ini membolehkan kemenangan berpihak kepada PH untuk menang di 19 kerusi Parlimen yang undi Felda jadi penentu.
PH dengan bantuan kumpulan generasi kedua peneroka Felda berkempen secara agresif di penempatan ini dan menabur janji akan menyelesaikan masalah yang membelenggu program era Tun Razak itu.
Janji ini termasuklah menghapuskan hutang peneroka dan mengembalikan projek perumahan yang tertangguh sebelum ini serta mencari sumber pendapatan untuk anak-anak peneroka generasi kedua.
Mereka juga berjanji untuk membersihkan Felda dan anak-anak syarikatnya, yang menjadi tumpuan kerana urusan jual tanah dan hartanah yang meragukan.
Masalah dalam perubahan
Felda Mempaga Satu, Dua dan Tiga diasaskan sekitar pertengahan tahun 80-an dan ramai peneroka generasi pertamanya masih lagi berladang menguruskan tanah 10 ekar mereka.
Aziz, seorang lagi peneroka Mempaga Tiga berkata, kelewatan elaun sara hidup menyebabkan urusan membayar bil bulanan dan wang untuk keluarganya terganggu.
Bayaran itu adalah daripada pinjaman tiga tahun yang beliau dan hampir 100 peneroka Mempaga Tiga lakukan dengan Felda.
Pinjaman itu memberikan elaun sara hidup antara RM900 sehingga RM1,200 sementara mereka menunggu Felda menamatkan proses penanaman semula tanah 10 ekar mereka dengan pokok kelapa sawit yang baharu, proses itu selalunya memakan masa tiga tahun.
Kebanyakan peneroka Felda membuat pinjaman pada kadar 6.2% faedah tahunan kerana mereka masih tidak mampu mendapat pendapatan hasil tanaman kerana ia sedang ditanam semula.
Peneroka Felda Lurah Bilut Osman Ismail mendakwa disebabkan ketidakcekapan Felda, penanaman semula boleh mengambil masa lebih tiga tahun. Sekiranya ia berlaku, peneroka ambil lagi pinjaman baharu tiga tahun.

Peneroka selalunya menerima bayaran mereka antara 23 hingga 25 haribulan setiap bulan.
Tetapi sejak Mei, Abu Bakar dari Mempaga Tiga mendakwa bayaran akan tertangguh kepada minggu pertama bulan seterusnya. Jadi bayaran Mei hanya diterima pada Jun dan bayaran Jun diterima pada Julai.
“Bila bayaran kita lewat, susah la kita pasal kita dah tetapkan tarikh sekian, sekian untuk bayar bill dan sebagainya,” katanya.
Beliau mendakwa pegawai Felda menyalahkan kelewatan bayaran itu kerana perubahan kepimpinan dalam agensi itu.
Bekas pengerusi Felda Shahrir Samad yang ada hubungan dengan BN yang kalah pilihan raya 9 Mei meletak jawatan. Penggantinya, Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor hanya dilantik dua bulan kemudian pada 27 Julai.
Harga dan bonus lebih rendah
Bukan hanya bayaran lewat yang membelenggu mereka. Aziz dari Felda Mempaga Tiga mendakwa bonus Hari Raya RM450 tahun ini juga berkurang daripada sebelumnya RM500 pada 2017.
“Semua orang dapat RM450, saya dapat RM400 sahaja. Mana pergi lagi RM50?”
Hashim dari Mempaga Dua percaya bekas perdana menteri Najib Razak lebih banyak membantu Felda daripada Dr Mahathir Mohamad.
Kedudukan Najib masih tinggi dalam kalangan penduduk Felda kerana beliau merupakan anak kepada Abdul Razak Hussein, perdana menteri kedua yang memulakan Felda.
Beliau mendakwa, Najib meningkatkan harga pasaran kelapa sawit ketika musim bunga dari Mei hingga September ketika pokok mengeluarkan antara satu hingga dua tan hasil.
“Musim ini tahun ini, harga buah lebih kurang RM430 satu tan. Jadi, kalau dapat dua tan hanya dapat RM860,” kata Hashim dan menambah ia adalah pendapatan kasar.
Mereka masih perlu menolak kos buruh dan pengangkutan iaitu RM80 bagi pekerja dan RM110 untuk lori.
Satu tuaian akan memberi purata RM670 kepada peneroka. Memandangkan tuaian dibuat dia kali sebulan, itu menjadikan pendapatan mereka kira-kira RM1,340.
“Ketika zaman Najib tahun lepas kita boleh dapat purata RM600 satu tan. Jadi kita dapat lebih RM200 sebulan. Saya rasa Najib memang berusaha supaya harganya tetap tinggi walaupun harga pasaran rendah,” kata Hashim.
“Namun kerajaan baru ini nampak macam tidak kisah.”
Malah katanya, ketika di bawah pentadbiran Najib, beliau tidak pernah terlepas untuk menyambut Hari Peneroka.
Pada sambutan Hari Peneroka tahun lalu, Najib mengumumkan enam insentif yang mensasarkan untuk meningkatkan kebajikan peneroka, termasuk bayaran insentif secara one-off RM5,000.
“Tapi kita tengok tiada pun Dr Mahathir atau Lim Guan Eng meraikan Hari Peneroka. Mana ada Hari Peneroka tahun ini.”– 9 Ogos, 2018
Komen