Azalina diselar jawab soalan kos Rosmah ke London macam ‘sampah’


Melati A. Jalil

Isteri perdana menteri Rosmah Mansor berada di London dari 4 hingga 10 Mei bagi program Permata dan turut disertai dua menteri, Azalina Othman dan Rohani Abdul Karim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Julai, 2017.

AHLI Parlimen Kulai Teo Nie Ching hari ini menyelar Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said kerana gagal memberikan kos keseluruhan membabitkan perjalanan Permata ke London pada Mei.

Wakil rakyat DAP itu berkata beliau meminta perdana menteri menjawab soalan berhubung kos perjalanan ke London, termasuk butiran dan hasil perjalanan penaung program Permata, Rosmah Mansor dan dua lagi menteri wanita iaitu Azalina dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rohani Abdul Karim.

Soalan itu bagaimanapun dijawab secara bertulis oleh Azalina.

“Ia hanya soalan mudah tetapi dia tidak boleh beri saya jumlah keseluruhan yang diluluskan Kabinet. Jika dia boleh beri saya jawapan tiga muka mengenai butiran dan hasil perjalanan itu, kenapa dia tidak boleh beri sebaris jawapan berapa kos perjalanan ke London itu.

“Ini lagi contoh menunjukkan walaupun soalan kita tidak ditolak tetapi jawapannya sampah,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Selain menjelaskan lima program yang diadakan ketika perjalanan itu dan hasilnya, Azalina dalam jawapannya hanya berkata kos itu diluluskan Kabinet menggunakan peruntukan dari Jabatan Perdana Menteri.

Teo berkata jika Azalina yakin perjalanan ke London itu membawa hasil, beliau sepatutnya mendedahkan angka keseluruhan yang dibelanjakan.

“Dan dia tidak sepatutnya menjawab soalan itu kerana dia salah seorang menteri yang menyertai perjalanan itu,” katanya.

Isteri perdana menteri berada di London dari 4 hingga 10 Mei untuk mengembangkan program Permata. Beliau juga menyampaikan ucapan dan merasmikan program Nobelist Mindset yang dianjurkan Permata Pintar bersama Royal Society of London.

Rosmah juga menyaksikan acara menandatangani surat niat, satu antara Permata Pintar dan Universiti Cambridge dan satu lagi antara Permata Insan dengan Pusat Oxford bagi Pengajian Islam Universiti Oxford. – 25 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen