SEJAK Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan, timbul pelbagai desas-desus kerisauan majoriti Melayu Islam tentang nasib agama Islam. Pada kem konservatif Muslim, mereka bimbang aliran liberal semakin berkembang. Sebaliknya, kem liberal mengimpikan sebuah kebebasan dan keterbukaan dalam urus agama, dan ini merisaukan golongan konservatif.
Baru-baru ini, berlangsung majlis dialog Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa bersama para ilmuwan, ahli akademik, juga tokoh agama.
Barangkali, dialog tersebut cuba menampilkan bahawa Islam masih terpelihara dalam kerajaan Malaysia baharu. Maka, dialog itu dianjurkan demi memperkasa institusi keagamaan dan mengukuhkan lagi Islam sebagai agama rasmi. Isu dilontarkan kepada perdana menteri dan tentulah untuk memperkasakan agenda agama Islam di Malaysia terutama mengangkat nilai-nilai Islam progresif.
Petang itu, Dr Mahathir bercakap tentang Islam dari sudut pandangnya. Beliau mengimpikan Malaysia sebagai model negara Islam yang maju di mata dunia.
Menurut beliau, negara-negara Arab gagal sebagai negara Islam kerana konflik peperangan, kemanusiaan sering terjadi, dan ia tidak memberi manfaat untuk dunia Islam. Beliau juga mengutuk keganasan IS yang berlawanan dengan ajaran murni Islam kerana menampilkan Islam ala teror.
Justeru, Islam yang gagal pada hari ini adalah Islam yang tidak toleran dan ekstrem. Masalah tersebut berpunca kerana mereka tidak memahami mesej Al-Quran. Menurut Dr Mahathir, umat Islam mesti menumpukan usaha memahami kandungan al-Quran. Itulah ucapan dan harapan beliau kepada asatizah dan cendekiawan Muslim.
Seperkara yang mesti diketahui, golongan teroris adalah orang beragama yang tanpa sedar salah mentafsir agama. Melihat perkembangan di Nusantara, mereka berpakaian sunnah dan membaca kitab suci Al-Quran. Dan, sudah tentu tidak mudah menanggapi bibit pemikiran teror kerana bicaranya disulami ayat-ayat agama dan kata-kata ulama.
Paling mustahak, golongan teroris tidak tertakluk kepada agama tertentu saja, malah ia berlaku kepada semua agama dan penganutnya.
Lalu, siapakah antara agamawan dan badan Islam yang diharap-harapkan oleh Dr Mahathir dan menteri agama untuk sama-sama merealisasikan Islam rahmatan lil alamin?
Islam superior
Menepis agenda terorisme, Malaysia harus menjadikan isu itu sebagai langkah nasional. Pada peringkat global, isu tersebut juga begitu merisaukan. Mengambil kira pelbagai faktor, perkembangan kumpulan radikal semakin meningkat. Buktinya di Nusantara, gelombang aliran keras berkembang pesat, umpamanya aksi keganasan yang banyak terjadi di Indonesia.
Kumpulan-kumpulan keganasan selalunya lahir daripada iklim dan suasana keagamaan yang konservatif. Kelompok teror berkembang di Nusantara seperti kumpulan Jemaah Islamiah, Tanzim al-Qaeda, Darul Islam Sabah, Kumpulan Mujahidin Malaysia dan Abu Sayyaf.
Pemikiran ekstremis mesti dibanteras oleh semua kelompok agama di Malaysia. Mendepani cabaran ini, semua agama mesti berganding bahu. Tidak hanya dibincangkan oleh kelompok agama Islam sahaja, malah meliputi semua agama termasuk Kristian, Buddha dan Hindu.
Janganlah disebabkan superior yang telah dipasak oleh kerajaan lama, kita mengulangi sikap “memilih” agama yang paling autoriti untuk berbincang. Sebaliknya, semua kelompok agama harus diajak bersama-sama melawan kekerasan itu.
Dalam dialog berkaitan perkara sejagat, hal kemanusiaan bersama, melawan kekerasan beragama, semua agama mesti duduk dan berdialog bersama-sama, tetapi timbul pertanyaan, di mana ketua-ketua agama Kristian, Buddha dan Hindu?
Melawan teror isu bersama, ini isu kemanusiaan tanpa mengira agama!
Walhal, perkara yang dibangkitkan oleh perdana menteri, sepatutnya difikirkan oleh semua kelompok agama. Bukan hanya dihadiri oleh para cendekiawan dan ulama Muslim sahaja. Lebih malang, ia mencorakkan sikap eksklusif dalam hal ehwal Islam. Buktinya, dialog tersebut hanya dihadiri kelompok majoriti dalam bidang aliran agama atau ustaz, bukan daripada aliran dan pakar yang berbagai-bagai.
Di sini, tiada progresifnya Islam jika urusan keagamaan dan kekerasan beragama di Malaysia masih lagi bersifat superior sedangkan isu keganasan kelompok ekstremis agama adalah isu sejagat – untuk semua kaum, bangsa dan agama.
Jika hal-hal sejagat sebegini, kerajaan dan menteri agama boleh lagi melayan kerenah mengada-ngada pak lebai, tidaklah sesuatu yang pelik mengapa kelompok ustaz gagal memimpin pendamaian dan toleransi beragama.
Paling mustahak, sejauh mana para tokoh agama dan pertubuhan Islam yang diundang mampu memenuhi norma-norma keadilan, kebebasan individu, demokrasi dan boleh memimpin kedamaian di tengah-tengah kehidupan masyarakat silang budaya dan agama.
Penganut agama yang soleh
Kita lupakan sementara dialog bersama perdana menteri. Mari melihat Islam yang berbelas kasih sebagaimana Islam yang diamalkan oleh Nabi Muhammad dan generasi Islam awal.
Perkara itu dikemukakan oleh pakar sejarah terkemuka, Fred M.Donner. Menurut beliau, Nabi memulai gerakan umat beriman dengan melibatkan kaum Yahudi, Kristian yang soleh dan menyebarkan keagamaan melalui jalan kedamaian.
Al-Quran menjelaskan ajaran dasar daripada gerakan tersebut dengan menekankan kepada keesaan Tuhan. Sebuah gerakan reformasi yang bersifat monoteistik yang dimiliki semua agama tanpa harus menukar agama. Mereka kaum yang yakin tentang hari pengadilan akhir, dan sedar bahawa kezaliman, terorisme dan korupsi harus dilawan.
Oleh itu, gerakan keimanan adalah kelompok penganut agama yang soleh; yang bersama-sama membangun komuniti keimanan demi melawan kemungkaran.
Selain itu, Nabi Muhammad tidak mencipta sebuah gerakan Arab atau nasionalis, sebaliknya membawa gerakan umat beriman sebagai usaha meningkatkan kemajuan sosial, menyebarkan rasa kasih kepada kemanusiaan. Kelompok itu yakin bahawa cinta kasih dan berbuat kebaikan kepada semua orang adalah satu kewajiban yang ada dalam iman yang benar kepada Tuhan.
Buktinya, penganut Yahudi dan Kristian menjadi anggota dalam gerakan umat beriman kerana mereka orang-orang yang soleh. Al-Quran menyebut pada ayat 3;19, 3;113-116, bahawa terdapat ramai kelompok ahli kitab iaitu Kristian dan Yahudi – yang dipandang sebagai umat beriman kerana ketaatan kepada Tuhan dan hukum Tuhan.
Gerakan tersebut wujud dalam sejarah naratif Islam, berbeza dengan sebahagian sejarah Islam yang kita fahami pada hari ini, kononnya Islam merujuk kepada agama tertentu sahaja.
Jelas, inilah ajaran Islam yang rahmah, toleransi yang diperlukan saat ini. Bukan Islam yang superior, dan masih lagi beranggapan Islam yang dipegang mewakili agama dan ideologi tertentu.
Sudah-sudahlah bermindakan Islam tentang institusi agama, Islam asatizah, Gerakan Islam Ikhwan, sebaliknya Islam mengajar kita lebih mengenal dan tunduk kepada Tuhan, walau agama apa sekalipun. Demikian juga melawan terorisme, kita memerlukan gerakan keimanan, bukan gerakan asatizah dan gerakan Islam model Ikhwan Muslimin.
Maka menangisi ucapan di hadapan para asatizah, agaknya, akan terbitkah Islam yang toleran lalu menghapuskan pemikiran ala teror? – 9 Ogos, 2018.
* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen