NAJIB Razak tidak termasuk dalam percaturan kempen Umno dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis yang baru berlalu, kata setiausaha agungnya Annuar Musa.
Umno langsung tidak menimbang untuk melibatkan Najib dalam kempen calon Barisan Nasional (BN), Lokman Noor Adam.
Beliau menjawab kenyataan terbuka Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan Johari Abdul Ghani yang mempertikaikan apa bijaknya membenarkan Najib berkempen dalam PRK itu.
“Beliau (Johari) salah anggap. Keputusan kita ialah kempen di Sungai Kandis tanpa Najib,” kata Annuar kepada The Malaysian Insight.
Annuar yang juga ahli Parlimen Ketereh menjelaskan bahawa Lokman sebenarnya yang membawa Najib berkempen untuk beliau di Sungai Kandis.
“Apabila kita semak, calon kita Lokman yang jemput dia. Kita tidak halang (Najib) kerana dia ahli parti,” katanya.
Beliau menjelaskan kempen PRK Sungai Kandis diketuai oleh presiden Umno sekarang, Ahmad Zahid Hamidi, timbalannya Mohamad Hassan dengan dibantu Ketua Perhubungan Umno Selangor Ismail Sabri Yaakob.
“Mereka bertiga ini tidak ada kena mengena dengan program yang dihadiri oleh Najib,” kata Annuar.
Johari berkata membawa Najib dalam kempen satu kesilapan yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat kepada Umno kerana bekas perdana menteri itu sedang berhadapan dengan perbicaraan mahkamah berhubung dakwaan skandal rasuah dan penyelewengan.
“Memandangkan kes mahkamah Najib masih belum lagi dibicarakan dan mengambil kira persepsi korupsi dan pecah amanah yang masih lagi membelenggu beliau, apakah strategi Umno dalam mengetengahkan Najib sebagai salah seorang tokoh yang aktif berkempen bagi PRK Sungai Kandis baru-baru ini suatu strategi yang bijak?” tulis Johari.
Johari juga bertanya apakah Najib wajar “direhatkan” daripada kempen dua lagi PRK di Balakong dan Seri Setia menjelang pengundian pada 8 September ini.
Johari kemudian ditegur oleh Zahid kerana dianggap tidak hormat pada Najib, bekas presiden parti.
Semasa PRK Sungai Kandis, Najib turun berkempen dua kali. Beliau bagaimanapun tidak muncul dalam sebuah ceramah yang dijadualkan bersama Annuar.
Dalam PRK itu, calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni menang dengan majoriti 5,842 undi. Beliau meraih 15,427 undi sementara Lokman mendapat 9,585 undi, sementara calon bebas K Murthy mendapat 97 undi. – 9 Ogos, 2018.
Komen