BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini menolak kemungkinan bertanding di kawasan Parlimen Pekan yang merupakan kubu kuat Perdana Menteri Najib Razak semasa pilihan raya akan datang, dan berkata mungkin akan bertanding di negeri asalnya di Kedah.
“Saya nak bertanding tempat yang mudah (untuk menang),” kata Dr Mahathir di Putrajaya.
“Saya ada banyak tanggungjawab. Saya tak boleh berkempen untuk diri sendiri. Mungkin di Kedah, mana yang mudah (untuk menang). Tapi tidak di Pekan,” katanya yang turut pertimbangkan untuk bertanding di Kubang Pasu, Kedah iaitu kerusi yang pertama kali dimenanginya pada 1974.
Mahathir memegang kerusi berkenaan sehingga 2004 iaitu setahun selepas peletakan jawatannya sebagai perdana menteri.
Sekiranya beliau bertanding, ini merupakan kali pertama dalam tempoh 70 tahun beliau dalam politik bertanding atas tiket pembangkang dan sebagai pengerusi pakatan itu.
Pada Sabtu, Sin Chew Daily melaporkan Dr Mahathir mungkin akan bertanding satu lawan satu menentang Najib, yang menyandang kerusi Pekan.
“Saya tak kata saya nak bertanding, Saya kata jika tiada calon lain, saya akan pertimbangkan,” kata pengerusi Parti Peribumi Bersatu Malaysia itu.
Pekan merupakan kubu kuat Barisan Nasional dan Najib menang dengan 51,278 undi menentang Fariz Musa daripada PKR yang mendapat hanya 15,665 undi dalam pilihan raya umum pada 2013.
Najib memenangi kerusi itu pertama kali pada 1976 ketika berusia 23 tahun. Najib terus memegang kerusi Parlimen itu hingga kini.
Dr Mahathir berkata Bersatu akan bertanding di Kedah, Johor, Perak dan Melaka.
“Kami dapati, ke mana saja kami pergi orang ramai hadir dan memberi sokongan terhadap kami. Kami ada banyak pilihan (kerusi untuk bertanding),” kata Dr Mahathir.
Dr Mahathir turut dinamakan sebagai pengerusi pakatan pembangkang selepas Pakatan Harapan menamakan barisan kepimpinan baharu pada 14 Julai. Sejak itu, beliau menjelajah seluruh negara memberi ceramah menentang pentadbiran perdana menteri yang disifatkan sebagai kleptokrasi.
“Beliau menganggap ‘cash is king’. Bila ada masalah, dia tabur duit,” katanya merujuk kepada pengumuman Najib mengenai insentif tunai RM1.59 bilion sebagai bantuan untuk program peneroka Felda. – 25 Julai, 2017.
Komen