AHLI PKR meningkat hampir 70% selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan 300,000 ahli baharu boleh jadi penentu dalam pemilihan parti bulan depan, peralihan pimpinan yang akan mencorakkan hala tuju parti itu dan politik Malaysia sehingga 2021.
Ahli baharu yang mendaftar itu membentuk lebih kurang 40% suara daripada lebih 800,000 ahli yang layak mengundi dalam pemilihan yang akan menentukan pasukan Anwar Ibrahim menjelang PRU15 yang akan datang.
Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR semalam mengesahkan Anwar terpilih sebagai presiden selepas menang tanpa bertanding. Tugas-tugas presiden bagaimanapun masih dijalankan oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail sehingga Kongres Nasional PKR pada November ini.
Tiga negeri kini ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan, sementara Terengganu di bawah pemerintahan PAS dan Perlis satu-satunya negeri pembangkang Barisan Nasional.
Keahlian PKR di Selangor dan Sabah pula meningkat begitu tinggi, mengekalkan dua negeri itu dengan bilangan ahli paling ramai yang merangkumi hampir separuh keahlian di seluruh negara. Ahli di Selangor bertambah lebih 90,000 sementara di Sabah meningkat lebih 52,000 orang.
“Ahli bertambah ini sebab PH sudah jadi kerajaan,” kata Pengerusi PKR Perlis Mohammad Faisol Abd Rahman, mengulas pertambahan mendadak ahli di negerinya.
Perlis secara keseluruhan menambah ahli sehingga lebih sekali ganda, dengan tumpuan di cabang Arau yang meningkat empat kali ganda.
Namun beliau mengaku ada pihak bimbang sesetengah ahli baharu itu “didaftarkan begitu saja” menjelang pemilihan parti, yang akan bermula proses pengundiannya bulan depan.
“Sebab apa saya kata didaftarkan begitu saja, sebabnya ada antara mereka yang masih lagi ahli parti-parti lain. Parti ini mereka ahli, parti itu pun mereka ahli dan ada pula yang memegang jawatan,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Sehubungan itu, Faisol meminta ibu pejabat PKR memastikan senarai ahli parti yang layak mengundi pada pemilihan nanti adalah mereka yang benar-benar “sudah dibersihkan”.
“Saya cadang PKR jalankan pembersihan sebelum pemilihan. Masih ada mereka yang daftar sebagai ahli PKR tetapi pada masa sama ahli parti-parti lain. Mesti buat pembersihan,” katanya.
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution baru-baru ini mengumumkan pertambahan ahli baharu parti, yang mendaftar antara 9 Mei hingga 26 Jun lepas, menjadikan keahlian PKR kini lebih 800,000, yang semuanya layak mengundi.
Tidak seperti parti politik lain, perlembagaan PKR membuka pemilihan pimpinan kepada semua ahli, menjadikan seorang ahli mempunyai satu undi.
Saifuddin sebelum ini juga mengesahkan pemilihan PKR kali ini menggunakan senarai daftar ahli setakat 26 Jun, 2018 dengan syarat mereka menjelaskan yuran ahli sebelum hari pengundian. Pengesahan itu dikeluarkan dalam pekeliling kepada pimpinan PKR di semua peringkat akhir Jun lalu.
Sementara itu, Pengerusi PKR Kelantan Ab Aziz Ab Kadir berkata kebanyakan ahli baharu PKR adalah penyokong parti sejak lama tetapi selama ini mendukung PH secara senyap.
“Sebelum ini mereka takut dengan kerajaan (BN) tetapi apabila PH menang Putrajaya mereka ini mula keluar menunjukkan sokongan dengan lebih terbuka,” katanya.
Kelantan antara negeri yang menambah ahli dengan memberangsangkan, meningkat dari lebih kurang 22,000 kepada lebih 44,000.
“Kita tidak ada kempen khusus tambah ahli. Kebanyakan ahli baharu ini mendaftar selepas PRU14,” katanya.
Aziz bagaimanapun tidak menafikan kemungkinan pertambahan ahli baharu PKR ada kaitan dengan pemilihan parti yang sedang berjalan sekarang.
“Kemungkinan itu ada. Sekarang ini ada sesetengah tempat pertandingan sampai empat lima penjuru. Calon yang hendak bertanding ini mungkin buat usaha tambah ahli untuk dapatkan sokongan,” katanya.
Penyokong dan jurukempen kedua-dua calon timbalan presiden, Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli bagaimanapun menegaskan pertambahan ahli PKR ini tiada kaitan dengan pemilihan parti. Mereka menyifatkannya “perkara biasa selepas pilihan raya, semua hendak masuk parti”.
Pada pemilihan kali ini, Azmin yang jadi orang nombor dua PKR sejak 2010 cuba sekali mempertahankan jawatannya yang dicabar oleh Rafizi, dengan pertembungan mereka dijangka bertumpu di Selangor dan Sabah. – 9 Ogos, 2018.
Komen