PEMUDA Pakatan Harapan (PH) hari ini memberi dua tawaran besar sebagai manifesto mereka menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang menekankan isu pekerjaan dan perumahan untuk rakyat negara ini.
Menurut Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Faiz Fadzil, pemuda PH bercadang untuk mewujudkan 1 juta peluang pekerjaan yang realistik dengan gaji berpatutan kepada para graduan di negara ini dan tidak bergantung harap kepada pekerja asing.
Beliau berkata, dengan gaji minima yang berpatutan, rakyat tempatan akan berminat untuk menceburkan diri dalam industri 3D (Dirty, Difficult, Dangerous).
Ini sekaligus menepis kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan belia negara ini bersikap memilih kerja menyebabkan majikan terpaksa menggaji pekerja asing untuk sektor 3D.
“Kita akan wujudkan peluang pekerjaan mahir dan separa mahir profesional untuk graduan bagi mereka yang layak.
“Kami akan tingkatkan gaji pekerja buruh supaya rakyat tempatan berminat menceburkan diri dalam 3D. Sebab Zahid cakap rakyat Malaysia tak minat libatkan diri dalam 3D. Saya rasa itu kenyataan yang tidak berasas,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Amanah di Kuala Lumpur hari ini.
Antara usaha awal pemuda PH selepas berjaya menawan Putrajaya pada PRU14 adalah dengan meletakkan kadar gaji minima baharu pada RM1500 yang mana mekanisme peningkatan RM500 akan dibiayai secara adil antara kerajaan dan majikan.
Gaji minima negara pada masa kini adalah RM1,000 sebulan.
Faiz berkata, ia akan direalisasikan dalam tempoh lima tahun pertama pentadbiran PH selepas berjaya menawan Putrajaya.
Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad pula berkata, isu kebergantungan terhadap pekerja asing di negara ini tidak pernah selesai meskipun terdapat pelbagai siri pemutihan.
Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor itu berkata, ini kerana Malaysia terikut-ikut dengan model ekonomi upah rendah yang digunapakai banyak negara.
“Itu model yang banyak dipakai banyak negara tetapi negara kita gaji minima tidak naik macam negara lain.
“Kita ketagih (dengan model ekonomi upah rendah). Jadi bila rakyat tidak dapat hidup dengan gaji rendah, kita harapkan pekerja asing,” katanya.
Sambil memberi contoh yang digunapakai kerajaan negeri Selangor di bawah pentadbiran PKR, Nik Nazmi menjelaskan pemuda PH akan turut memfokuskan kepada kemahiran vokasional sebagai alternatif untuk tidak bergantung harap kepada model ekonomi upah rendah yang menggalakkan pengambilan pekerja warga asing.
Sementara itu, pemuda PH juga menawarkan matlamat “satu keluarga, satu kediaman yang sempurna” bagi memastikan setiap rakyat atau keluarga mempunyai tempat tinggal yang baik, selesa dan selamat untuk didiami.
Antaranya adalah sasaran tambahan 1 juta rumah mampu milik menjelang 2020, menubuhkan badan autoriti untuk mengetuai agenda perumahan mampu milik negara, menubuhkan “housing x-change” di mana mekanisme untuk memastikan maklumat berkenaan stok rumah mampu milik benar-benar sampai ke tangan yang memerlukan dan membendung spekulasi rumah.
Katanya, ini termasuk meletakkan harga siling bagi perumahan mampu milik seluruh negara pada RM250,000 sehingga RM300,000 mengikut lokasi. – 25 Julai, 2017.
Komen