KEPUTUSAN menutup Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) adalah dari Kabinet bukan Kementerian Pertahanan, kata Menterinya Mohamad Sabu.
“Keputusan Kabinet,” katanya ringkas kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata demikian apabila ditanya sama ada penutupan itu dimuktamadkan oleh kementeriannya.
Awal minggu ini, Mohamad mengumumkan operasi KSCIP dihentikan dan pejabat sementaranya di Jalan Ampang ditutup serta-merta.
Mohamad berkata fungsi KSCIP kini diserap Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (Midas) di bawah Kementerian Pertahanan.
Dalam isu penarikan balik anggota tentera Malaysia yang ditempatkan di Arab Saudi pula, beliau berkata negara hanya akan menghantar mereka ke negara di bawah Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Namun, beliau tidak pasti jumlah anggota tentera yang terlibat.
“Kami (Malaysia) hanya mahu menghantar tentera kita dengan mana-mana negara di bawah Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu - di Lubnan, Somalia, Darfur,” katanya.
Dilaporkan sebelum ini, kehadiran tentera Malaysia di Arab Saudi yang dihantar pentadbiran terdahulu menyebabkan negara secara tidak langsung diheret ke dalam konflik di Timur Tengah. – 8 Ogos, 2018.
Komen