Najib perlu terus dihormati, kata Zahid kepada Johari


Yasmin Ramlan

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata kenyataan terbuka bekas menteri Johari Abdul Ghani terhadap Umno supaya tidak membenarkan Najib Razak berkempen untuk parti adalah pandangan peribadi dan tidak seharusnya memberi tekanan kepada Najib. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2018.

BEKAS perdana menteri Najib Razak perlu terus dihormati walaupun selepas kalah Pilihan Raya Umum ke-14, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid yang juga ketua pembangkang berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas menteri Johari Abdul Ghani yang mahukan Najib tidak dibenarkan berkempen untuk Umno dan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Kecil yang akan datang.

Katanya, Najib seharusnya tidak perlu diberikan tekanan susulan kenyataan Johari yang dianggapnya “pendapat peribadi”.

“Saya fikir itu merupakan pendapat peribadi, dan kita harus bersikap bahawa jika seseorang sahabat itu kini jadi miskin atau sahabat dulu berkuasa sekarang tidak lagi, dalam keadaan itu (masih) harus dihormati.

“Dan dalam keadaan itu kalau berbeza pendapat sekali pun, ada kaedah-kaedah sahsiah yang baik untuk nyatakannya,” kata Zahid kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Hari ini, Johari yang juga bekas ahli Parlimen Titiwangsa dalam kenyataan terbukanya mempersoalkan sama ada tindakan Umno dan BN membenarkan Najib menyertai kempen pilihan raya kecil adalah tindakan bijak, kerana bekas presiden Umno itu sedang berdepan pertuduhan jenayah.

Tetapi, Zahid berkata situasi Najib kini tidak boleh digunakan untuk terus merendah-rendahkannya.

“Bagi saya janganlah pijak kepala seseorang apabila tengkuk telah berada di paras buah pinggang (terus ditekan walaupun sudah jatuh).

“Dalam keadaan itu, kita harus mempunyai kaedah tasawuf. Biarpun kita tak bersetuju dalam beberapa langkah yang dilakukan seseorang,” kata Zahid.

Zahid juga menjelaskan kehadiran Najib di PRK Sungai Kandis adalah atas dasar jemputan calon BN, Lokman Noor Adam.

“Saya telah lakukan penyemakan dan calon sendiri yang telah mengaturkan kehadiran itu dan tentulah calon mempunyai niat yang baik dan di dalam keadaan itu, apa pun pandangan dari pihak berbeza kita harus berlapang dada dan berfikiran terbuka.

“Di dalam hal itu kalau ada kesan positif atau sebaliknya ianya satu penanda aras utuk kita lakukan pembaikan,” katanya. – 8 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen