MENTERI Hal Ehwal Agama Mujahid Yusof Rawa menafikan beliau memfitnah Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (Iksim) berikutan dakwaan perbelanjaan peruntukan RM7.4 juta daripada RM7.6 juta kepada badan itu yang tidak dapat dikesan.
“Pastinya bila kita londeh seluar dia, takkan dia nak kata ‘betul saya yang buat’,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian susulan kenyataan Iksim yang menafikan dakwaan penyelewengan itu dan mempertikaikan audit dalaman Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp).
Iksim dalam kenyataan di laman sesawangnya menyifatkan dakwaan kehilangan dana itu satu fitnah dan bersifat separuh masak kerana proses audit masih belum disempurnakan.
Isnin lalu, Mujahid mendakwa RM7.4 juta daripada RM7.6 juta peruntukan kepada Iksim daripada Maiwp tidak dapat dikesan. Iksim sebelum itu mendakwa kerajaan mahu menutup institusi itu dan dananya disekat.
Mujahid bagaimanapun menegaskan yang pihak berkuasa akan jalankan siasatan terhadap kehilangan dana itu dan beliau selaku menteri bertanggungjawab atas kenyataanya itu.
“Biar pihak berkuasa yang lakukan siasatan, mereka ada jalan yang baik untuk buat selesaikan masalah ini.
“Tetapi saya bertanggungjawab atas apa yang saya katakan,” katanya.
Iksim ditubuhkan hasil kesepakatan Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Maiwp dan Majlis agama Islam negeri-negeri, serta perkenan Majlis Raja-Raja Melayu.
Penubuhan Iksim, yang diperbadankan secara rasmi pada 9 Disember 2014 merupakan ilham bekas perdana menteri Najib Razak.
Ia ditubuhkan untuk menjadi institut pemikir bebas khususnya untuk memelihara kedaulatan raja-raja Melayu dan Islam sebagai agama persekutuan.
Pada 2017, Iksim menganjurkan forum melabel beberapa orang pemimpin pembangkang Pakatan Harapan ketika itu, termasuklah Mujahid sebagai penyokong fahaman pluraslisme, liberalisme dan penyokong LGBT, lapor portal berita Free Malaysia Today. – 8 Ogos, 2018.
Komen