Badan penyiasat 1MDB mesti neutral, kata Dr Mahathir


Bede Hong

BEKAS Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mencabar Perdana Menteri Najib Razak untuk membenarkan siasatan bebas ke atas dana pelaburan negara yang penuh skandal, 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Pada persidangan pelabur awal hari ini, perdana menteri berkata beliau akan memerintahkan penyiasatan kepada 1MDB selepas mengakui “kelemahan” dalam tadbir urus korporat.

“Ia mesti disiasat badan yang neutral,” kata Dr Mahathir kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

“Itu yang paling penting.

“Jika ia salah satu jabatan kerajaan ... Najib mempunyai kawalan penuh ke atas semua jabatan kerajaan dan mereka akan membersihkan namanya,” katanya.  

Najib yang juga Menteri Kewangan memberitahu kira-kira 1,000 pemimpin perniagaan daripada 150 syarikat yang mengakui “masalah” berkaitan 1MDB.

“Ada di antara anda mungkin berfikir saya tidak menyebut syarikat-syarikat nasional di mana terdapat masalah. 1MDB kini jelas mempunyai kegagalan dalam tadbir urus.”

“Bagaimanapun, daripada bersikap tidak ambil peduli, kami mengarahkan siasatan ke atas syarikat itu pada skala yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita,” kata Najib.

Dr Mahathir bagaimanapun, merujuk kepada penyiasatan terdahulu oleh bekas ketua audit negara Ambrin Buang yang bermula pada Mac 2015 berkaitan 1MDB.

“Kali terakhir beliau berkata ketua audit negara akan menyiasat. Tetapi apabila ketua audit negara membuat laporannya, ia diisytiharkan sebagai rahsia rasmi,” katanya.

Jabatan Perdana Menteri mengklasifikasikan Laporan Ketua Audit Negara di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) selepas ia diterbitkan pada Februari 2016.

Ambrin berkata, klasifikasi OSA hanya untuk tujuan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk menyiapkan laporannya sendiri tanpa kebocoran yang tidak perlu.

“Itu bukan caranya,” kata Dr Mahathir.

“Sekiranya anda ingin melakukan kajian yang jujur ​​tentang 1MDB, ada orang asing yang boleh memberikan banyak maklumat. Anda harus bertanya kepada orang-orang ini dari Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ), dari mana mereka mendapat maklumat?”

Penyiasatan yang dikaitkan dengan 1MDB dibuka di sekurang-kurangnya enam negara termasuk Amerika Syarikat yang berusaha untuk mendapatkan semula aset bernilai lebih daripada satu bilion dolar.

Bulan lalu, DoJ memfailkan saman ketiga untuk cuba merampas aset bernilai AS$1.7 bilion (RM7.3 bilion) yang dipercayai dibeli dengan wang dicuri daripada 1MDB.

Tuntutan ini membawa jumlah dana yang diselewengkan kepada AS$4.5 bilion.

Najib hari ini berkata, beliau mengarahkan siasatan, “bukannya menyalurkan wang untuk menutup sebarang masalah yang mungkin dihadapi 1MDB, seperti yang pernah dibuat seorang bekas pemimpin.”

“Sebenarnya ada satu kempen bersepadu untuk menghantar maklumat yang salah di luar negara untuk merosakkan ekonomi Malaysia untuk tujuan politik yang mementingkan diri mereka sendiri,” katanya.

Najib juga pada dasarnya bersetuju untuk menubuhkan “Unit Integriti dan Tadbir Urus” di semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan entiti perniagaan milik kerajaan. – 25 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen