BEKAS menteri pertahanan, Hishammuddin Hussien berkata risiko Malaysia bertindak sendirian dalam usaha memerangi keganasan selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk membatalkan operasi Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) yang disokong oleh Arab Saudi.
Hishammuddin berkata tindakan menolak tawaran bekerjasama dengan Arab Saudi, hanya akan merugikan Malaysia.
“Kita tidak boleh bertindak sendirian, jika mereka mahu membatalkan hubungan dengan Arab Saudi apa rancangannya?” kata Hishamuddin pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Bekas naib presiden Umno itu berkata kerajaan Arab Saudi sekarang akan membuat tawaran bergabung dengan negara lain.
“Saya percaya Arab Saudi mempunyai pilihan di negara lain. Jika kita memilih untuk tidak bersama mereka, mereka akan membuat keputusan untuk bersama pihak lain. Pihak yang rugi adalah kita,” katanya.
Hishammuddin berkata Menteri Pertahanan Mohammad Sabu perlu menjelaskan apakah kedudukan dan rancangan Malaysia yang baharu untuk memerangi keganasan.
Mohammad berkata pada awal minggu ini KSCIP akan dibatalkan, dan pejabat sementaranya di Kuala Lumpur akan menghentikan operasi serta-merta. – 8 Ogos, 2018.
Komen