Soalan 1MDB sah, bukannya imaginasi saya, kata Tony Pua


Muzliza Mustafa

PENOLAKAN soalan berkaitan 1MDB hanya menambah keraguan berhubung nilai sebenar baki unit sedia ada di bawah jagaan bank antarabangsa yang diletakkan oleh anak syarikat dana pelaburan itu, Brazen Sky Limited, kata wakil rakyat DAP Tony Pua.

Soalannya antara 30 soalan daripada pembangkang mengenai isu 1MDB yang ditolak speaker.

“Saya hanya tanya soalan munasabah dan sah berhubung jawapan diberi di Parlimen oleh menteri dan kenyataan rasmi 1MDB. Mereka boleh beri saya sebaris ayat.

“Saya hanya hendak tahu apa nilai unit semasa di dalam bank penjaga dan beri kami nama bank itu. Saya tidak perlukan penjelasan lanjut.

“Adakah soalan saya boleh dipertikaikan dan hanya imaginasi saya? Tidak,” katanya.

Pua berkata ini hanya menunjukkan Parlimen cuba mengelak soalan mengenai 1MDB.

“Keengganan speaker dan menteri menjawab soalan itu membangkitkan keraguan atau mengesahkan lagi syak wasangka yang nilai baki unit dimiliki 1MDB kurang daripada yang dinyatakan. Itu sebabnya mereka tidak mahu jawab soalan,” katanya. – 25 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen