Anwar akan bertanding di kerusi majoriti Melayu, bukan Selayang


Khoo Gek San

Presiden PKR Anwar Ibrahim akan bertanding di kawasan Parlimen majoriti Melayu dan bukan di Selayang seperti ditawarkan oleh penyandangnya, William Leong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2018.

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim akan bertanding di kawasan Parlimen majoriti Melayu dan bukan di Selayang seperti ditawarkan oleh penyandangnya, William Leong, kata sumber parti itu.

Anwar juga tidak akan menyertai semula Parlimen pada tahun ini, kata sumber.

“Jika Anwar bertanding, ia akan di kerusi majoriti Melayu, dengan cara itu akan memberikan keyakinan kepada rakyat. Tetapi bukan tahun ini.

“Beliau tidak tergesa-gesa, beliau mahu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad melengkapkan perubahannya,” kata sumber parti itu, sebagai respons kepada tawaran Leong baru-baru ini mengosongkan kerusinya untuk Anwar.

Anwar menerima pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong dan dibebaskan pada 16 Mei selepas PH menang PRU14 pada 9 Mei.

Di bawah perjanjian antara empat parti dalam PH, beliau akan menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri pada 2020, tetapi beliau terlebih dulu perlu menjadi ahli Parlimen.

“Anwar perlu dapat sokongan orang Melayu untuk jadi perdana menteri. Di Langkawi di mana Dr Mahathir bertanding (dan menang pada 9 Mei), 90% pengundinya ialah orang Melayu.”

Sumber berkata PKR perlu mengambil kira pecahan pengundi di sesebuah kerusi itu dan pencapaian penyandangnya sebelum membuat sebarang keputusan.

Pecahan pengundi di Selayang pada PRU14 ialah 52% Melayu, 29% Cina, 18% India dan lain-lain 1%.

“Leong ahli Parlimen senior. Kami akan pertimbangkan ahli Parlimen yang tidak cemerlang. Lebih pun tidak adil untuk membuat keputusan selepas hanya tiga bulan,” kata sumber itu.

Naib Presiden PKR Chua Tian Chang memberitahu The Malaysian Insight bahawa kepimpinan parti belum membincangkan di mana Anwar akan bertanding.

Timbalan Perdana Menteri dan juga Ahli Parlimen Pandan Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar pada Isnin berkata mereka tidak akan mengosongkan kerusi masing-masing untuk Anwar.

Dr Wan Azizah berkata ramai ahli Parlimen menawarkan kerusi untuk beri laluan kepada Anwar tetapi keputusan masih belum dibuat.

Permatang Pauh menjadi kubu kuat Anwar sejak 1982.

Beliau menjadi ahli Parlimen di situ sehingga dipenjarakan pada 1999 atas kesalahan liwat dan rasuah selepas dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada 1998.

Selepas dibebaskan dari penjara, beliau memenangi kembali kerusi itu pada pilihan raya kecil 2008 dan pilihan raya umum 2013.

Bekas presiden PKR Dr Wan Azizah memberi laluan kepada Anwar pada Ogos 2008.

Dr Wan Azizah mempertahankan Permatang Pauh pada pilihan raya 1999, 2004 dan 2008 serta pilihan raya kecil 2015 selepas Anwar dipenjarakan kerana kesalahan meliwat kali kedua.

Nurul Izzah, anak perempuan Anwar yang juga naib presiden PKR mempertahankan kerusi itu pada PRU14.

Permatang Pauh mempunyai 72% pengundi Melayu, Cina (21.4%), India (6%) dan lain-lain (0.5%) pada PRU14. – 8 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen