Akaun Wanita MCA dibekukan, ada kaitan dengan siasatan 1MDB


Khoo Gek San

Difahamkan Wanita MCA menerima RM100,000 pada Disember 2012 dan RM200,000 pada Februari 2013 daripada Barisan Nasional. – Gambar EPA, 8 Ogos, 2018.

WANITA MCA memaklumkan kepada polis berkenaan dua transaksi tunai yang dibuat kepada sayap parti komponen kepada Barisan Nasional (BN) itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Sumber parti memberitahu The Malaysian Insight bahawa transaksi berjumlah RM300,000 yang dibuat pada 2012 dan 2013 itu dikendalikan oleh ketua Wanita MCA pada masa itu, Yu Chok Tow.

Sumber juga berkata jawatankuasa pusat parti itu tidak dimaklumkan tentang transaksi berkenaan.

“Kedua-dua jumlah itu bukan kecil. Jadi kenapa ia tidak dibawa ke dalam mesyuarat? Biasanya jika kami menerima peruntukan untuk anjur aktiviti, ia akan dilaporkan kepada jawatankuasa pusat.

“Kami perlu adil kepada Wanita (MCA). Wang itu dari BN, kami tidak tahu jika ia ada kaitan dengan 1MDB. Ia normal untuk BN beri Wanita dana untuk anjur aktiviti pilihan raya,” kata sumber itu.

Beberapa ratus akaun bank milik ahli politik, parti politik, ahli perniagaan dan individu lain dibekukan ketika kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) menjalankan siasatan terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

The Malaysian Insight masih menunggu respons daripada Yu.

Difahamkan Wanita MCA menerima RM100,000 pada Disember 2012 dan RM200,000 pada Februari 2013 daripada BN. PRU13 diadakan pada Mei 2013.

Bendahari Wanita MCA Chew Tock Juan dalam satu kenyataan pada Isnin berkata beliau tidak tahu sumber dana BN itu.

Katanya, menjadi kelaziman untuk pemimpin BN memperuntukkan dana dan peruntukan itu akan digunakan untuk aktiviti pilihan raya akar umbi MCA.

“Akaun itu bersih dan telus, pihak berkuasa boleh audit bila-bila masa,” kata Chew.

Beliau berkata RM300,000 itu diberikan kepada satu pusat untuk menganjurkan program kepelbagaian pendapatan isi rumah, bagi menganjurkan beberapa aktiviti berskala kecil.

Chew, bersama setiausaha agung parti Ooi Siew dan bendahari agung Lee Liew Loo hadir ke ibu pejabat polis di Bukit Aman semalam, membawa beberapa dokumen berkaitan dan kenyataan mereka diambi.

Presiden MCA Liow Tiong Lai meminta bantuan bekas pemimpin parti itu ketika siasatan semakin dipertingkatkan.

Ketua Wanita MCA Heng Seai Kie dalam satu pesanan teks kepada The Malaysian Insight berkata laporan penuh diserahkan kepada polis.

“Laporan terperinci diserahkan kepada polis, semuanya ok,” tulisnya, tetapi tidak mengesahkan sama ada akaun Wanita MCA dibekukan, atau tidak.

Akaun Wanita MCA Kedah juga dilaporkan dibekukan. – 8 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen