BEKAS perdana menteri Najib Razak tiba di kompleks mahkamah Jalan Duta pagi ini untuk menghadapi lebih banyak pertuduhan berhubung skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Najib tiba pada pukul 8.50 pagi dengan kenderaan Vellfire berwarna putih yang dikawal oleh pihak polis bagi kes pendengarannya yang melibatkan empat tuduhan rasuah.
Bekas menteri kewangan itu dijangka menghadapi tuduhan tambahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali dijangka mengetuai perbicaraan kes rasuah ahli Parlimen Pekan itu.
Sekitar 20 orang penyokong beliau berkumpul di luar mahkamah seawal jam 7.30 pagi bagi memberi sokongan. Bagaimanapun, tiada sebarang sorakan kedengaran.
Pengerusi Pemantau Malaysia Baru, Lokman Noor Adam yang menyeru badan bukan kerajaan (NGO) dan individu untuk hadir bersama-sama ke mahkamah untuk perhimpunan solidariti tidak kelihatan setakat jam 9 pagi.
Najib sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen pada 4 Julai dengan tiga pertuduhan pecah amanah di bawah Kanun Keseksaan, dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya di bawah Akta SPRM. – 8 Ogos, 2018.
Komen