Selangor kaji semula program bertindih dengan kerajaan persekutuan


Zaim Ibrahim Nabihah Hamid Salhan K. Ahmad

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata beberapa program kerajaan negeri akan dinilai semula seperti Tabung Warisan Anak Selangor dan Skim Peduli Sihat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2018

KERAJAAN Selangor akan mengkaji semuka program kelolaannya yang bertindih dengan program bawah kerajaan persekutuan bagi memastikan keberkesanannya.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata antara program itu adalah Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) yang diasaskan sejak 2008.

Menurutnya ia mempunyai matlamat sama dengan pogram caruman Adam 50 yang dilancarkan kerajaan persekutuan semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) pada Februari lalu.

Skim Tawas antara lain menyediakan dana sebanyak RM1,500 kepada setiap anak Selangor berdaftar yang akan menerimanya ketika berusia 18 tahun.

Program Adam 50 pula menyediakan tabungan RM200 menerusi unit amanah saham kepada bayi baru lahir, yang akan dapat mengeluarkannya apabila mencapai usia 18 tahun.

Dalam satu temubual dengan The Malaysian Insight, beliau berkata kerajaan negeri juga akan mengkaji program kesihatan Peduli Sihat yang mungkin akan dilaksanakan peringkat Persekutuan. 

“Maknanya, tidak ada lagi pertindihan dalam apa-apa peruntukan. Kerajaan pusat akan mewujudkan Skim Peduli Sihat, jadi kenapa kita perlu buat program yang sama?” katanya.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad pada 5 Julai lalu membentuk Pasukan petugas khas bagi memulakan kerja-kerja asas bagi pelaksanaan “Skim Peduli Sihat” kebangsaan.

Ia bakal memberi manfaat kepada kumpulan isi rumah berpendapatan rendah untuk memenuhi janji dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH).

Ia menawarkan pembiayaan RM 500 untuk rawatan asas di klinik swasta berdaftar bagi isi rumah berpendapatan rendah yang membentuk 40 peratus daripada jumlah penduduk itu (B40). 

Skim itu akan dijangka akan dinikmati lebih daripada 2.6 juta isi rumah di negara ini atau sekitar 10.4 juta orang. – 8 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen