Selangor lubuk undi pertembungan Azmin-Rafizi


Nabihah Hamid

Jumlah keahlian PKR di Selangor jauh melebihi 100,000 orang daripada keseluruhan lebih 800,000 ahli. – Gambar EPA, 8 Ogos, 2018.

SELANGOR akan jadi tumpuan persaingan kerusi timbalan presiden PKR antara Mohamed Azmin Ali dan pencabarnya Rafizi Ramli dalam pemilihan parti bulan depan kerana negeri itu mempunyai jumlah ahli parti yang paling tinggi, kata pemimpin dan sumber parti.

The Malaysian Insight difahamkan jumlah keahlian PKR di Selangor jauh melebihi 100,000 orang daripada keseluruhan lebih 800,000 ahli. Pegawai di ibu pejabat parti mengesahkan anggaran itu namun enggan mendedahkan angka sebenar.

Azmin dilihat mempunyai kelebihan di Selangor, negeri yang pernah beliau terajui sebagai menteri besar sebelum dilantik sebagai anggota Kabinet Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya, kata penganalisis politik dan penyokong menteri hal ehwal ekonomi itu.

Mereka bagaimanapun tidak memperkecilkan pengaruh Rafizi yang sudah memulakan kempen dengan tema mengembalikan semangat reformasi yang katanya mula terhakis dan mengancam perjuangan PKR.

“Kita tidak akan ambil mudah. Kita akan terus usaha dan terus berkempen (untuk Azmin),” kata calon timbalan ketua sayap Wanita PKR, Dr Daroyah Alwi kepada The Malaysian Insight.

Daroyah, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sementa, Selangor menjadi regu kepada calon ketua Wanita PKR, Haniza Talha, yang juga wakil rakyat negeri Selangor kerusi Lembah Jaya dan exco kerajaan negeri.

Kecemerlangan Mohamed Azmin Ali mentadbir Selangor sebagai menteri besar banyak memberi kelebihan kepada beliau untuk memenangi pemilihan PKR kali ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2018.

Menurut Daroyah, kekuatan Azmin di Selangor sudah tentulah kejayaan beliau menguruskan negeri itu sejak September 2014. Azmin melepaskan jawatannya di Selangor selepas Pilihan Raya Umum ke-14 apabila dilantik sebagai menteri di Putrajaya.

“Azmin sudah berjaya di Selangor. Dengan hasil kerja beliau, Selangor ini maju dan ke depan. Kita dapat membuktikan kita boleh mentadbir walaupun kita pembangkang dahulu,” kata Daroyah, yang memegang jawatan exco semasa Azmin jadi menteri besar pada penggal lepas.

Ahli baru

Kempen untuk Azmin juga diperkuatkan di Selangor untuk menyekat pengaruh Rafizi terutama dalam kalangan ahli baru PKR yang bertambah dengan pesat di negeri itu.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution baru-baru ini mengumumkan ada pertambahan 300,000 ahli baru parti, yang mendaftar antara 9 Mei hingga 26 Jun lepas. Kemasukan ahli baru itu menjadikan keahlian PKR kini lebih 800,000, yang semuanya layak mengundi.

Tidak seperti parti politik lain, perlembagaan PKR membuka pemilihan pimpinan kepada semua ahli, menjadikan seorang ahli mempunyai satu undi pada pengundian bermula 14 September ini.

Pengundian yang pertama kali dijalankan secara elektronik dalam talian akan diadakan pada setiap hujung minggu secara berperingkat-peringkat mengikut negeri. Selangor antara negeri yang terakhir akan mengundi.

Seorang Adun PKR di Selangor mengakui Rafizi ada pengaruh dalam kalangan anak muda dan ahli-ahli baru PKR, terutama memandangkan bintang politiknya mula bersinar selepas pilihan raya umum 2008 tetapi itu saja tidak cukup untuk menandingi Azmin.

“Saya rasa bila Rafizi bertanding timbalan (presiden), Azmin masih boleh pertahan (jawatannya) kerana pengaruhnya kuat,” kata Adun yang menyokong Azmin tetapi enggan dinamakan itu.

“Rafizi mungkin ada kesan pada ahli baru yang ramai, lebih-lebih lagi seorang satu undi. Jadi persaingan (Azmin-Rafizi) dijangka sengit.

“Keahlian baru 300,000 akan sangat memberi kesan,” katanya lagi.

Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Ismail Yusof memberitahu selepas pertambahan ahli-ahli baru, Selangor kekal negeri yang mempunyai ahli paling ramai, diikuti Sabah. Beliau bagaimanapun tidak dapat memberikan angka sebenar sebelum mendapat kelulusan biro politik parti.

Yakin

Sementara itu, seorang lagi sumber dalaman PKR yakin Azmin akan mengulangi kejayaannya mempertahankan jawatan terutama sekarang selepas membangunkan parti sejak 20 tahun lalu dari peringkat akar umbi.

Azmin juga mendapat dukungan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari yang akan turun berkempen untuk jawatan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

“Azmin popular di akar umbi sementara Rafizi di peringkat nasional. Tetapi kalau ikut secara menyeluruh prestasi Rafizi sebagai naib presiden dan setiausaha agung tidak nampak.

“Azmin kini bergerak secara senyap dan pragmatik. Beliau ada akar dari bawah. Menteri besar sekarang ini pun sebagai calon MPP akan secara langsung menyebut jasa Azmin sewaktu kempennya,” kata sumber yang mengetahui gerak kempen Azmin itu.

“Selangor ini lubuk (undi) untuk Azmin. Beliau (pernah jadi) menteri besar Selangor… jasanya tidak boleh ditidakkan,” tambah sumber itu.

Saingan sengit

Dalam pada itu, pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Kartini Aboo Thalib berkata pemilihan PKR ini kritikal kerana ia akan menentukan masa depan parti dan politik Malaysia.

Mengenai peluang dua calon timbalan presiden itu, beliau melihat kedudukan Azmin kini sebagai anggota Kabinet, yang sudah pula terbukti kepimpinannya semasa menerajui Selangor, memberikan kelebihan kepada beliau berbanding Rafizi.

“Azmin lebih popular dan berkarisma di peringkat nasional dan akar umbi. Rafizi saya kira lebih beremosi kerana beliau terkenal dengan whistleblower (pembocor rahsia) yang banyak mendedahkan kebobrokan politik, sama ada individu atau institusi, negeri mahupun di peringkat pusat,” katanya.

Kartini yang banyak mengkaji isu-isu politik dan generasi muda melihat kepimpinan Rafizi belum terbukti kalau dibandingkan dengan Azmin.

Rafizi Ramli mempunyai kelebihan sendiri walaupun mungkin tidak sehebat Mohamed Azmin Ali. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2018.

Pensyarah politik Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya sebaliknya mengingatkan jangan dipandang remeh peluang Rafizi, terutama dengan tema kempen beliau yang dilihat mempersoalkan integriti lawannya.

“Sekiranya kempen-kempen itu mendatangkan reputasi kurang baik terhadap pentadbiran negeri Selangor, maka imej (Azmin) akan terjejas dan sokongan terhadapnya akan ada kesan,” katanya, merujuk kepada tuduhan kronisme dan nepotisme dalam lantikan ahli majlis kerajaan tempatan yang berbangkit baru-baru ini.

“Selangor ini dikuasai kem Azmin dan Zuraida,” katanya, merujuk kepada Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin yang akan melepaskan jawatan selepas pemilihan ini. Zuraida, sekarang menteri, bertanding kerusi naib presiden.

“Kalau dakwaan mengenai integriti mereka diperbesarkan, mungkin akan ada kejutan untuk ahli PKR,” katanya, yang membayangkan isu-isu integriti itu akan memihak pada Rafizi. – 8 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen