UNDANG-UNDANG perlu dipinda untuk membenarkan pilihan raya kerajaan tempatan dilaksanakan, kata pakar undang-undang kerajaan tempatan.
Peguam Derek Fernandez berkata Putrajaya perlu meminda Akta Kerajaan Tempatan 1991 sebelum memperkenalkannya semula.
“Ia perlu diluluskan di Parlimen, Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan
“Akta ini sudah disediakan pada 960, dan disemak semula pada 1991 dan dikenali sebagai Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1960 (pindaan 1991).
“Kerajaan mungkin mahu mengkaji semula sekali lagi pada 2018 untuk memasukkan sebarang keperluan baru yang mereka mahu berdasarkan polisi semasa mengenainya,” kata Fernandez kepada The Malaysian Insight.
Fernandez berkata demikian susulan kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin yang kerajaan akan mengadakan pilihan raya tempatan bermula 2021.
Beliau berkata Putrajaya melakukan kajian awal untuk mengkaji kemungkinan pelaksanaan undi ketiga diperkenalkan dalam tempoh tiga tahun.
Fernandez berkata setiap Dewan Undangan Negeri perlu menerima pakai dua akta untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan di negeri masing-masing.
Beliau berkata setiap negeri juga perlu memenuhi syarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menjalankan pilihan raya kerajaan tempatan.
Fernandez memuji idea Zuraida yang bukan hanya menetapkan jangka masa untuk perubahan, tetapi juga dengan membentuk pasukan petugas dalam kementeriannya untuk melihat rangka kerja undang-undang dan keperluan pindaan kepada undang-undang itu.
Pasukan petugas itu diwakili ahli majlis tempatan, termasuk Dewan Bandaraya, Pejabat Peguam Negara, SPR dan agensi-agensi berkaitan.
Fernandez berkata walaupun ia permulaan yang baik, ia akan mengambil masa kira-kira 15 bulan untuk pasukan petugas menyelesaikan rangka kerja undang-undang dan mekanisme pelaksanaan untuk pilihan raya tempatan. – 7 Ogos, 2018.
Komen