AHLI Parlimen Stampin dari DAP, Julian Tan diarah keluar dari Dewan Rakyat selepas menuduh Menteri Kesihatan Dr S. Subramaniam mengelirukan Dewan mengenai kekurangan vaksin rabies di dalam negara.
Tan berkata, mengikut Seksyen 36 (12) Perintah Tetap Parlimen, Subramaniam boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan kerana tidak menghormati Dewan berkaitan kenyataan awalnya yang vaksin untuk mengawal rabies mencukupi.
“Anda mengatakan vaksin untuk rabies cukup tetapi ia sebenarnya tidak mencukupi,” katanya.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ronal Kiandee bagaimanapun berkata, Seksyen 36 hanya boleh dibangkitkan jika menteri itu berulangkali membuat pernyataan dengan niat jahat.
Seksyen 36 (12) menyatakan mana-mana ahli yang menyangkal kenyataan yang mengelirukan Dewan dianggap menghina Dewan dan ahli itu boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan.
Beliau kemudian meminta Tan supaya keluar daripada persidangan tersebut selepas pertikaman lidah antara Kiandee dan Tan.
Kerajaan tetap dengan dengan kenyataan vaksin rabies mencukupi untuk mengawal penyebaran wabak itu di Sarawak yang meragut lima nyawa.
Subramaniam dalam jawapannya sebelum ini berkata, vaksin untuk manusia dan haiwan adalah berbeza dan kedua-dua agensi kerajaan iaitu Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar mempunyai vaksin yang mencukupi untuk menguruskan wabak tersebut.
Dalam satu sidang akhbar kemudian, Tan berkata kerajaan tidak serius dalam menangani wabak rabies memandangkan angka kematian meningkat kepada lima orang.
“Ini adalah krisis yang serius kerana hanya dalam satu bulan, wabak itu tersebar dari Serian ke Seri Aman dan Batu 17 di Sarawak lebih daripada 10km radius.
“Menteri itu tidak memberikan jawapan yang jelas jika krisis itu terkawal, walaupun vaksin sudah cukup. Dan saya tidak diberi peluang untuk bertanya lagi,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Kuching Chong Chien Jen berkata, beliau akan melancarkan usul tergempar hari ini terhadap wabak rabies.
“Saya sudah menyediakan usul itu tetapi saya menunggu jawapan menteri untuk melihat apa yang beliau akan katakan. Bagaimanapun, setakat apa yang dikatakannya tidak mencukupi.
“Dua tahun lepas, wabak rabies berlaku di Pulau Pinang dan tidak ada satu pun kehilangan nyawa manusia. Kini wabak rabies berlaku di Sarawak dan meragut lima nyawa namun kerajaan masih tidak mengambil serius.
“Apa yang perlu kita lakukan ialah memanggil gerakan nasional untuk membantu mengawal rabies di seluruh Kuching,” katanya. – 25 Julai, 2017.
Komen