Prabakaran nafi runding bayaran RM25 juta untuk kosongkan kerusi


Yasmin Ramlan

Ahli Parlimen Batu P Prabakaran menafikan bahawa beliau berunding agar dibayar RM25 juta supaya mengosongkan kerusinya untuk ditandingi Presiden PKR Anwar Ibrahim.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Ogos, 2018.

AHLI Parlimen Batu P Prabakaran menafikan bahawa beliau berunding agar dibayar RM25 juta supaya mengosongkan kerusinya untuk ditandingi Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Penuntut undang-undang berusia 22 tahun itu berkata beliau tidak tahu mengenai dakwaan berkenaan, yang ditimbulkan seorang penulis blog.

“Saya tak tahu mengenai itu. Jadi saya tak boleh komen. Mungkin dia ada perkara yang tak puas hati dengan saya… Saya tak pasti.

“Itu jumlah yang besar (RM25 juta),” katanya ketika ditanya pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Prabakaran juga berkata, tiada pemimpin PKR yang datang berjumpa dengannya mengenai dakwaan itu.

Prabakaran menjawab dakwaan penulis blog, Raja Petra Kamaruddin yang menimbulkan dakwaan di Twitter mengenai khabar angin bahawa ahli Parlimen muda itu sedang membuat rundingan berkenaan.

Prabakaran memenangi kerusi tersebut apabila PKR berkempen untuk calon Bebas tersebut apabila penyandangnya, Tian Chua hilang kelayakan untuk bertanding.

Ia ekoran tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya yang menolak borang pencalonan Tian Chua dengan alasan beliau dikenakan didenda RM2,000 oleh mahkamah atas kesalahan jenayah.

Khabar angin itu juga ditimbulkan Raja Petra susulan kenyataan ahli Parlimen Selayang, William Leong semalam yang menyatakan kesediaan untuk mengosongkan kerusi berkenaan untuk ditandingi Anwar.

Raja Petra menghilangkan diri dari negara ini sejak sembilan tahun lalu selepas dua waran tangkap dikeluarkan ke atasnya kerana gagal menghadiri perbicaraan mahkamah.– 7 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen