SPRM heret Najib ke mahkamah lagi esok


Alfian Z.M. Tahir

Najib Razak dilihat di luar pejabat SPRM di Jalan Duta bersama peguamnya hari ini bagi sesi soal jawab. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 7 Ogos, 2018.

BEKAS perdana menteri Najib Razak akan diheret ke mahkamah sekali lagi esok bagi menghadapi pertuduhan berhubung kesalahan pengubahan wang haram.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyebut, tuduhan itu berkaitkan kes SRC International, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Bhd.

“Pertuduhan tersebut dibuat selepas mendapat keizinan daripada Peguam Negara,” kenyataan SPRM dipetik.

Tuduhan itu akan dikemukakan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pemcegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

SPRM juga mengesahkan Najib disiasat sekali lagi hari ini berhubung kes tersebut.

Menurut SPRM, kenyataan Najib dirakam di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia selama 45 minit sejak jam 5 petang ini.

Terdahulu hari ini, sumber SPRM mengesahkan Najib akan berdepan pelbagai pertuduhan esok.

“Ya, beliau akan didakwa esok,” kata sumber itu.

Sumber SPRM berkata Najib tidak akan ditahan hari ini, dan akan dilepaskan selepas siasatan selesai.

“Tidak, beliau tidak akan ditahan. Beliau akan bercakap dengan media selepas soal siasat (selesai).”

Bekas presiden Umno dilihat berada di ibu pejabat badan anti-rasuah itu kira-kira jam 4.58 petang disertai peguam tanpa bercakap dengan pemberita.

Najib meninggalkan premis itu selepas disoal selama 45 minit.

Bagaimanapun, beliau tidak bercakap dengan pemberita, yang menunggu lebih dua jam. Peguamnya juga tidak bercakap dengan media.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah dan satu penyalahgunaan kuasa pada Jun.– 7 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen