KAJIAN Kementerian Pendidikan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) harus bersandar pada dasar pendidikan negara yang dipersetujui sebagai asas pembinaan negara bangsa, kata persatuan bekas pelajar Sekolah Alam Shah (Asas).
Dasar pendidikan negara menetapkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar dan menggunakan sukatan pelajaran yang sama, dan itulah yang harus jadi panduan kementerian untuk membuat keputusan mengenai UEC, kata timbalan presidennya, Ghazali Bujang.
Jelas beliau, persatuan alumni itu membantah cadangan kerajaan untuk mengiktiraf UEC bukan kerana sijil itu melibatkan pendidikan aliran Bahasa Mandarin tetapi kerana ia tidak menggunakan sistem pendidikan yang diterima pakai mengikut dasar negara.
“Isu (UEC) bukan tentang bahasa sahaja tetapi juga isu sistem pendidikan,” kata Ghazali dalam sidang media persatuan alumni itu di Kuala Lumpur, hari ini.
Jelas beliau, sistem pendidikan yang berbeza yang dibenarkan untuk dilaksanakan di Malaysia sekarang ini menyukarkan usaha perpaduan bangsa, merujuk bukan saja kepada aliran Mandarin tetapi juga aliran Bahasa Inggeris yang tidak menggunakan silibus nasional di sekolah swasta.
Asas yang mempunyai lebih kurang 2,600 ahli adalah persatuan bekas pelajar Sekolah Alam Shah, sekolah berasrama penuh pertama yang menggunakan bahasa kebangsaan sepenuhnya.
Sekolah yang lahir daripada Penyata Razak 1956, yang menjadi asas dasar pendidikan Malaysia, dibuka pada Februari 1963 dengan tapak asalnya di Cheras, Kuala Lumpur sebelum berpindah ke Putrajaya sejak 2003.
Menurut Ghazali, Asas akan menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Pendidikan Maszlee Malik dalam masa terdekat.
Memorandum 10 halaman itu menggariskan rasional kenapa UEC tidak wajar diiktiraf, yang bertumpu pada soal kedudukan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara dan undang-undang serta dasar dan sistem pendidikan kebangsaan.
Sementara itu, Setiausaha Kehormat Asas, Engku Nasir Syed Mohamad berkata bantahan persatuan itu terhadap cadangan kerajaan mengiktiraf UEC bukan bermotifkan politik.
“Kalau Barisan Nasional (BN) menang (Pilihan Raya Umum ke-14) pun kita bantah juga,” katanya.
Beliau menjelaskan, Asas sebelum ini pernah menghantar memorandum bantah terhadap pelaksanaan program dwibahasa (DLP) di sekolah kepada kerajaan BN sebelum ini. – 7 Ogos, 2018.
Komen