TIMBALAN Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) baharu Wong Kah Woh mahu jawatankuasa itu membuka semula siasatan ke atas 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Beliau berkata PAC sebelum ini “lesu” dan “lalai” dalam menjalankan tanggungjawabnya, malah pengerusi terdahulu tidak mahu menyiasat semula skandal kontroversi tersebut.
“Saya akan berbincang dengan pengerusi PAC dan ahli-ahli PAC setelah mereka dilantik supaya penyiasatan PAC terhadap skandal 1MDB dibuka semula dan laporan yang lebih komprehensif dan lengkap dengan mengambil kira keterangan-keterangan baru dapat dibentang ke Parlimen,” kata Wong kepada pemberita pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.
Bekas pengerusi PAC Hasan Ariffin membersihkan Najib Razak daripada sebarang salah laku membabitkan 1MDB walaupun bekas perdana menteri itu tidak dipanggil untuk disoal siasat.
Ahli Parlimen Ipoh Timor menambah, jawatankuasa itu juga perlu mengambil kira pendedahan oleh Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat berhubung 1MDB.
Wong berkata nama PAC tercemar kerana laporan jawatankuasa itu berhubung 1MDB sebelum ini mempunyai kecacatan dan direka semata-mata untuk membersihkan nama Najib.
“Laporan PAC terhadap siasatan 1MDB yang dibentangkan ke Parlimen pada April 2016 telah dijadikan bahan wakil-wakil kerajaan pada ketika itu membersihkan nama dan peranan bekas perdana menteri dalam skandal 1MDB, walaupun pada hakikatnya laporan tersebut tidak menyebut berkenaan kesimpulan tersebut,” katanya.
PAC juga, katanya, akan membuka semula skandal kontroversi lain yang berlaku pada pentadbiran terdahulu, tambah Wong.
“Semua isu yang perlu untuk disemak semula kami akan beri keutamaan. Ia sepatutnya tidak berat sebelah. Saya akan beri keutamaan untuk kes-kes ini,” katanya.
PAC mahu menyoal siasat Najib selepas bekas setiausaha perbendaharaan Irwan Serigar memberitahu jawatankuasa itu yang Najib bertanggungjawab terhadap kesemua keputusan penting yang dibuat 1MDB.
Najib pada Mac mendakwa PAC membersihkan namanya daripada salah laku membabitkan 1MDB termasuk wang yang didakwanya diterima dari Arab Saudi.– 7 Ogos, 2018.
Komen