Arab Saudi terkilan pusat anti keganasan ditutup, kata Najib


Yasmin Ramlan

BEKAS perdana menteri Najib Razak berkata kerajaan Arab Saudi akan terkilan apabila Malaysia menghentikan operasi Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP).

Najib berkata tindakan itu juga menunjukkan Malaysia menolak bantuan daripada Arab Saudi yang mempunyai hubungan baik dengan negara ini.

“Mereka baik dengan kita, kita dapat layanan banyak pertimbangan daripada Arab Saudi,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata KSCIP dicadangkan oleh Raja Arab Saudi Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud.

“Itu dicadangkan oleh kerajaan Arab Saudi dan Raja Salman sendiri, sebab itu dinamakan KSCIP.

“Maknanya kita sambut sebagai satu usaha yang sangat baik dan mereka memilih Malaysia berbanding banyak negara lain,” katanya.

Beliau mengulas pengumuman Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Malaysia menghentikan operasi KSCIP dan menurut pejabat sementara di Jalan Ampang serta-merta.

Mohamad berkata fungsi KSCIP diserap ke dalam Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS) di bawah Kementerian Pertahanan. – 7 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen