PILIHAN raya kerajaan tempatan akan bermula pada 2021, kata Zuraida Kamaruddin.
Menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu berkata Putrajaya sedang menjalankan kajian awal untuk kebolehlaksanaan undi ketiga diperkenalkan dalam tempoh tiga tahun.
“Pilihan raya tempatan akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun akan datang iaitu pada 2021,” kata Zuraida dalam jawapan bertulis Parlimen hari ini.
Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Rahim (Umno) bertanyakan kepada Zuraida mengenai status pilihan raya kerajaan tempatan dan adakah kajian dilakukan sebelum kerajaan melaksanakannya.
Zuraida menambah yang kementerian sudah mewujudkan pasukan khas untuk mengkaji undang-undang berkaitan, proses pilihan raya dan kebolehlaksanaan kewangan mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan.
Menteri itu berkata kementeriannya akan berunding dengan semua pihak berkaitan termasuklah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Kementerian Kewangan dan Jabatan Peguam Negara sebelum memperkenalkan semula pilihan raya kerajaan tempatan.
Pilihan raya kerajaan tempatan digantung selepas Konfrontasi Malaysia-Indonesia 1964. Penggantungan itu tidak pernah dibatalkan dan dikekalkan di bawah Akta Kerajaan Tempatan.
Di bawah akta itu, pelantikan ahli majlis perbandaran dibuat kerajaan negeri, seterusnya menjadi amalan pemerintah membuat lantikan politik dalam majlis kerajaan tempatan. – 7 Ogos, 2018.
Komen