Barisan kepimpinan PH ‘program kembali bekerja untuk pesara’, kata Najib


Noel Achariam

Perdana Menteri Najib Razak (tengah) merasmikan persidangan Invest Malaysia 2017 di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 25 Julai, 2017. 

MENGGELARNYA sebagai program kembali bekerja bagi pesara, Perdana Menteri Najib Razak membalas serangan musuh politiknya dengan menggambarkan barisan kepimpinan pembangkang yang termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad hanya sandiwara.

“Struktur kepimpinan terbaru yang diumumkan pembangkang bunyinya seperti melucukan, macam program kembali bekerja untuk pesara politik warga emas.

“Bagi calon perdana menteri pula, pembangkang begitu terdesak sekarang mereka cuba buat rakyat percaya calonnya ialah seseorang yang berusia 90-an, bukannya ahli Parlimen pun dan partinya cuma ada satu kerusi,” katanya ketika berucap pada Persidangan Invest Malaysia di Kuala Lumpur pagi ini.

Kenyataan Najib itu merujuk kepada Dr Mahathir, bekas perdana menteri dan pengerusi Parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan juga kini pengerusi gabungan pembangkang, Pakatan Harapan (PH).

Presiden Umno itu kekal dengan skrip parti yang menyatakan DAP kuasa sebenar di sebalik pakatan pembangkang, berkata kepimpinan itu dikaburi dengan tiga pemimpin tetapi tanpa menunjukkan siapa sebenarnya pemegang kuasa antara mereka.

DAP mempunyai 38 kerusi persekutuan dalam pakatan pembangkang, pemilik kerusi terbanyak di antara empat parti dalam PH.

Najib berkata kerajaannya sekarang menawarkan sesuatu yang pasti dalam perniagaan di dalam dan luar negara, tidak seperti yang pembangkang tidak menawarkan apa-apa.

“Mereka sedang huru-hara. Dua ahli utama dalam satu parti tidak dapat bersepakat adakah gabungan pembangkang yang lama masih wujud di Selangor.

“Ya, ia wujud, kata seorang. Oh tidak, ia tidak, kata seorang lagi. Ia seperti Punch dan Judy.

“Sebenarnya dalam demokrasi angka tidak berbohong. Pemimpin DAP sekarang berselindung di belakang lelaki yang memenjarakannya, cuba memperdaya orang Melayu berfikir yang bekas pemimpin mereka calon interim untuk perdana menteri,” katanya.

Najib berkata kata-kata pembangkang tidak boleh dipercayai, dan baru-baru ini pemimpin salah satu parti itu berkata jika Malaysia ada hubungan baik dengan Arab Saudi, kenapa kuota haji tidak dapat ditambah.

“Ia ditambah dua kali tahun ini, daripada 22,230 kepada 27,900 dan kemudian naik lagi 30,200.”

Najib berkata pembangkang tidak akan bercakap mengenai manfaat sebenar daripada hubungan kerajaan dengan Arab Saudi, China, India atau mana saja.

“Pembangkang hanya cakap bohong mengenainya, menipu tentang ekonomi dan menakut-nakutkan akan berlaku bencana ekonomi di Malaysia,” katanya. – 25 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen