Orang yang tuduh saya ada aset RM230 juta ‘berfikiran kotor’, kata Zahid


Yasmin Ramlan

Ketua pembangkang Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan bahawa beliau memiliki aset RM230 juta pada 1996. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Ogos, 2018.

KETUA Pembangkang Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan bahawa beliau memiliki aset RM230 juta pada 1996.

Presiden Umno itu menyifatkan dakwaan mengenai kekayaan luar biasanya itu merupakan dakwaan daripada mereka yang “berfikiran kotor”.

Katanya, beliau hanya menyandang jawatan ketua Pemuda Umno dan ahli Parlimen saja pada 1996 dan pegangan sahamnya dalam syarikat tersenarai melibatkan pinjaman.

“Ketika itu saya terlibat dalam pengendalian dalam empat syarikat tersenarai dan saya juga pemegang saham minoriti di dalam syarikat-syarikat yang tersenarai itu.

“Saya juga menjadi CEO ke atas salah sebuah syarikat itu, juga menjadi pengerusi beberapa syarikat lain.

“Tentunya aset itu dalam bentuk saham dan saham itu tak diperoleh dalam bentuk percuma. Ia melibatkan pinjaman,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong yang mengesahkan tiada bukti menunjukkan ahli Parlimen Bagan Datuk mempunyai aset RM230 juta.

Kenyataan Liew bagi menjawab pertanyaan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) semalam sama ada kerajaan akan menyiasat dakwaan bahawa Zahid memiliki aset sebanyak itu.

Dakwaan terhadap Zahid itu muncul pada tahun lalu apabila beliau mula menyerang Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir pada waktu itu mendakwa Zahid membuat perisytiharan aset berjumlah sembilan angka pada 1996.

Pada tahun itu, Dr Mahathir merupakan perdana menteri manakala Zahid mengetuai sayap Pemuda Umno. – 7 Ogos, 2018.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen