SELEPAS mendapati suaminya bernikah secara rahsia di Thailand, Salmah Khalid terpaksa menerima hakikat yang dia perlu menyara empat anaknya sendirian sehingga terpaksa berhutang dan mengikat perut.
Salmah yang dimadukan sejak 15 tahun lalu, memberitahu hanya mengetahui dimadukan selepas dua bulan suaminya menikah baru dan kemudian hilang tanpa khabar hampir setahun. Ia berlaku susulan pertengkaran besar mereka mengenai pernikahan itu.
Walaupun sebelum ini suaminya yang bekerja sebagai penyelia kilang ada menyuarakan keinginan berkahwin lagi selepas Salmah mendapat tahu suaminya mempunyai kekasih, Salmah bertegas menolak permintaan itu.
Ketika itu, Salmah, 43, bekerja sebagai jururawat, manakala suaminya seorang penyelia kilang. Mereka mempunyai empat anaknya berusia di antara 10 hingga 15 tahun.
Bergelut memelihara anak-anak yang sedang membesar, Salmah sangat tertekan dengan komitmen kehidupan yang perlu ditanggung sendirian - daripada perbelanjaan rumah sehinggalah menguruskan anak.
“Kalau dahulu, duit bulanan dapat RM300. Rumah sama-sama bayar, lepas dia kahwin, saya kena tanggung seorang.
“Begitu juga dengan urusan pendidikan anak-anak. Daripada sekolah hinggalah ke peringkat pengajian universiti. Saya korbankan masa dan wang. Kadang-kala terpaksa meminjam duit koperasi (penjawat awam) dan saudara-mara. Saya juga ikat perut. Saya tidak makan tak apa tetapi untuk anak-anak, saya berusaha mengadakan semuanya terutama hal pendidikan.
“Hampir 15 tahun saya bermadu, nafkah saya tiada langsung. Cuma kadang-kala saya desak suruh bagi duit belanja anak sewaktu di universiti,” katanya.
Tidak cukup dengan itu, demi menampung perbelanjaan hidup, Salmah juga sering pulang lewat untuk kerja lebih masa serta bekerja sewaktu cuti awam.
Menurut kajian Sister In Islam (SIS) mengenai impak poligami dalam kalangan keluarga Islam, 44% isteri pertama terpaksa melakukan kerja tambahan atau lebih masa untuk memastikan mereka stabil dari segi kewangan sejurus selepas suami menambah isteri.
Turunkan taraf hidup
Pegawai kanan program SIS Syarifatul Adiba Mohamad Jodi berkata, impak poligami dapat menjurus kepada penurunan taraf hidup keluarga, terutama bagi golongan “working class”.
Katanya, seorang suami itu perlu memastikan perkahwinan poligami tidak menurunkan taraf kehidupan keluarga.
“Kami ada buat kajian mengenai impak poligami. Kami temubual 1,224 responden termasuk suami, isteri pertama, isteri kedua dan anak kepada isteri pertama dan kedua.
“Kalau dulu dia (suami) bagi isteri pertama RM5,000, selepas berpoligami, suami terpaksa membahagikannya kepada dua bahagian. Ia menyebabkan penurunan taraf kehidupan isteri pertama. Justeru, bagi menampung kehidupan, isteri terpaksa cari pendapatan lain,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Katanya, ini secara tidak langsung menganiaya isteri dan anak-anak pasangan tersebut.
Kajian SIS pada 2014 hingga 2016, menunjukkan kebanyakan aduan berkaitan poligami adalah ia dilakukan tanpa kebenaran dan pengetahuan isteri terdahulu.
Isteri minta cerai, suami rasa terhina
Mengikut perundangan syariah di Malaysia, kaum lelaki dibenarkan berpoligami tetapi memenuhi beberapa syarat.
Setiap negeri mempunyai syarat yang berbeza berkaitan poligami. Contohnya di Perak, suami yang hendak berpoligami tidak perlu memohon kebenaran mahkamah.
Namun berlainan di Selangor dan Kuala Lumpur, di mana suami yang ingin berpoligami hendaklah mendapatkan kebenaran mahkamah syariah terlebih dahulu.
Menurut Seksyen 23 Undang-undang Keluarga Islam (negeri Selangor) 2003, untuk mendapatkan kebenaran mahkamah, terdapat beberapa faktor yang akan diambil kira.
Dalam Seksyen 23(4), faktor yang dipertimbangkan termasuklah mengapa poligami itu patut dan perlu, pendapatan suami serta tanggungan sedia ada dan bakal tanggunggannya.
Suami dikira melakukan kesalahan apabila berpoligami tanpa kebenaran bertulis daripada Mahkamah Syariah. Seksyen 124 dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Menurut peguam syarie Ab Kadir Ismail, isteri mempunyai hak untuk mengadu di mahkamah syariah jika suami tidak menunaikan kewajipannya selepas berpoligami.
Katanya, memandangkan proses poligami di negara kadang-kala memakan masa, ia menyebabkan ramai mengambil keputusan bernikah di sempadan Thailand kerana prosedur yang lebih mudah.
“Proses ini boleh jadi cepat atau lambat. Kenapa lelaki di Malaysia tidak mahu ikut benda (undang-undang) ini? Kerana takut isteri marah, takut isteri minta cerai, takut isteri meroyan - datang ke pejabat menjerit-jerit. Dia takut anak-anak membenci.
“Dan semua lelaki hampir 90% cakap nak jaga hati isteri dan jangan meminta cerai. Dia mampu jaga kedua-duanya tetapi jangan meminta cerai. Istilahnya, jangan hina mereka,” katanya.
Katanya, isu poligami tidak akan timbul jika ia diajar di semua peringkat institusi pendidikan sejak awal melalui pendidikan keluarga kepada Islam dan bukan Islam.
Tambahnya, lelaki berpoligami atas banyak faktor dan faktor utama adalah tidak mendapat layanan memuaskan daripada isteri.
“Banyak pasangan yang bercerai ini (yang) kita tahu berpunca daripada isteri tidak melayan suami. Itu menyebabkan suami mencari perempuan lain. Isteri terlalu memberi perhatian kepada anak-anak, bukannya suami.
“Sepatutnya, anak kedua (nombor dua), suami nombor satu. Tetapi sekarang terbalik, anak nombor satu, suami nombor dua. Jadi suami setiap hari suami rasa ‘aku ni macam hamba saja. Keluar kerja, cari rezeki untuk makan bini (isteri) anak-anak. Aku balik macam itu juga, tak dapat layanan kasih sayang’,” katanya.
Walaupun makan hati dengan tindakan suami dan pernah berfikir untuk meminta cerai, Salmah berasa tindakan itu tidak akan dapat menyelesaikan masalah dan melenyapkan segala kesedihan yang dialami apatah lagi dengan faktor usia yang semakin bertambah.
Katanya, hubungan suami dan anak-anak semakin renggang sejak suaminya berkahwin dua.
“Anak-anak tidak selesa dengan bapa mereka. Iyalah, (bapa) tenggelam timbul.
“Setahun dua ini, bila sudah semakin tua, barulah dia mencari anak-anak semula,” katanya. – 26 Julai, 2017.
Komen