STESEN penyiaran milik kerajaan, Radio Television Malaysia (RTM) mengutip keuntungan RM3.3 juta daripada penyiaran perlawanan bola sepak Piala Dunia yang baru berakhir.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata kerajaan menerima RM33.3 juta dalam bentuk tajaan dan RM30 juta digunakan untuk pembelian hak siaran.
“Selepas jumlah RM30 juta ditolak daripada tajaan, kerajaan mendapat keuntungan RM3.3 juta,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) yang bertanya apa faedah yang diterima oleh kerajaan daripada penyiaran perlawanan Piala Dunia secara percuma di RTM.
Gobind berkata keuntungan itu akan masuk ke dana yang disatukan, diuruskan oleh Kementerian Kewangan.
TV1 dan TV2 menyiarkan 41 perlawanan, dengan 28 daripadanya siaran secara langsung. Terdapat 883 siaran ulangan di dua saluran itu. – 7 Ogos, 2018.
Komen