KEMENTERIAN Pertahanan akan menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat beberapa skandal termasuk pembelian kontroversi kapal selam Scorpene.
Menterinya, Mohammad Sabu berkata kementerian itu sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk menyiasat dan akan menubuhkan pasukan itu bagi menyiasat pembelian dua kapal selam berkenaan.
“Kementerian Pertahanan bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan atau menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat semua tuduhan rasuah dan salah pengurusan dalam kementerian ini.
“Ia termasuk hal berkaitan pembelian dua unit kapal selam Scorpene,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Wong Hon Wai (DAP-Bukit Bendera) bertanya apakah tindakan yang diambil terhadap skandal kapal selam itu, terutama kerana ada pihak yang sudah pun didakwa di mahkamah Perancis.
Pada 2008, pendedahan dibuat mendapati sebuah syarikat pembinaan kapal milik kerajaan Perancis, DCNS dan Thales International Asia, di mana kerajaan Malaysia membeli dua kapal selam Scorpene bernilai RM5 bilion pada 2002, membayar RM570 juta untuk komisen dan sogokan.
Jumlah itu dibayar kepada sebuah syarikat, Perimekar Sdn Bhd yang dikawal oleh Abdul Razak Baginda, rakan rapat kepada bekas perdana menteri Najib Razak, yang juga menteri pertahanan pada masa pembelian kapal selam berkenaan.
Tiga lelaki warga Perancis yang berkait dengan kes itu didakwa setakat ini, dan Razak turut dipercayai turut terbabit. – 7 Ogos, 2018.
Komen