Equanimity dijangka tiba di Pelabuhan Klang tengahari ini


Alfian Z.M. Tahir

Sumber polis memberitahu The Malaysian Insight yang pihak berkuasa percaya kapal layar itu kini melintasi Port Dickson dan dijangka berlabuh tengahari ini. Wartawan dan jurugambar mula berkumpul di pelabuhan sekitar jam 9 pagi tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Ogos, 2018.

KAPAL layar mewah didakwa milik ahli perniagaan Low Taek Jho dijangka tiba di Terminal Boustead Cruise Center di Pelabuhan Klang pada jam 12 tengahari ini.

Sumber polis memberitahu The Malaysian Insight yang pihak berkuasa percaya kapal layar itu kini melintasi Port Dickson dan dijangka berlabuh tengahari ini.

Wartawan dan jurugambar mula berkumpul di terminal seawal jam 9 pagi tadi.

Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Abdul Hamid Bador dilihat memasuki terminal pada jam 10.30 pagi tadi.

Sumber kemudian memaklumkan yang penyiasat daripada mahkamah tinggi, Pasukan Petugas Khas 1MDB dan Jabatan Peguam Negara akan memeriksa kapal layar bernilai AS$250 juta (RM1 bilion) itu sebaik sahaja ia sampai.

Equanimity dirampas di Bali pada Februari atas permintaan pihak berkuasa AS, sebahagian dalam siasatan korupsi berbilion dolar dilancarkan Jabatan Siasatan Jenayah (DoJ) berkaitan 1MDB.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berterima kasih kepada kerajaan Indonesia kerana memberikan kerjasama menyerahkan kapal layar mewah itu.

Dalam video dimuatnaik ke Facebook, Dr Mahathir juga menggesa pihak mendakwa pemilik kapal layar itu menghantar bukti pembelian.

“Saya gembira apabila kapal layar Equanimity diserahkan kepada Malaysia oleh pihak berkuasa Indonesia. Saya betul-betul berterima kasih kepada kerajaan pemerintah Indonesia terutamanya Presiden Joko Widodo yang begitu bekerjasama dengan Malaysia.

“Kita percaya kapal layar mewah ini milik kerajaan Malaysia kerana ia dibeli dengan duit yang dicuri oleh pihak tertentu. Oleh itu, mereka yang ingin menuntut kapal layar itu, mesti memberikan beberapa bukti kapal ini dibeli dengan duit mereka. Kita ingin tahu dari mana mereka mendapat wang yang begitu banyak untuk membeli kapal yang begitu mahal,” kata Dr Mahathir.

“Kalau mereka dapat membuktikan ia dibeli dengan duit mereka sendiri, ia perlu mengikut laporan dan siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) yang mendakwa kapal ini dibeli dengan wang yang dicuri daripada 1Malaysia Developmment Berhad (1MDB) yang telah dibersihkan dengan membeli kapal dan bangunan dan lain-lain.” – 7 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen