MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa menegaskan terdapat perkara yang lebih penting daripada pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355) dalam usaha untuk memperkasakan Institusi Mahkamah Syariah.
Kata Mujahid, sebelum pindaan RUU355 hendak dibuat, adalah lebih penting kerajaan mengharmonikan undang-undang syariah dan sivil yang selama ini sering berlaku konflik selain daripada kompetensi hakim dan pendakwa syarie.
“Bayangkan hukuman itu diletakkan tinggi seperti yang dicadangkan oleh ahli Parlimen Marang (Abdul Hadi Awang) dalam dalam usul persendirian, kompetensi hakim dan pendakwa syarie belum sampai kepada tahap yang sesuai. Mereka perlu banyak lagi peningkatan.
“Ketiga aspek tadbir urus dan prasarana mahkamah syariah, ini juga penting. Kalau sekadar bercakap tentang RUU355, kita tidak ada satu prasarana yang boleh menampung satu peningkatan hukuman yang drastik itu, maka kita khuatir dengan sekadar melihat RUU355, kita tidak melihat secara komprehensif dan global.
“Rasanya akan berlaku sedikit ketidaksesuaian dalam mahkamah syariah,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikan menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan meminta Mujahid memberi jaminan akan meneliti soal pemerkasaan mahkamah syariah yang kali terakhir dipinda 34 tahun lalu.
“Pindaan kepada Akta 355 juga sesuatu yang perlu ke arah kita memperkasakan institusi mahkamah syariah di mana mahkamah ini dijamin tidak melibatkan langsung bukan Islam.
“Kanun Keseksaan atau akta-akta lain di mahkamah sivil boleh dikatakan setahun atau dua tahun sekali dipinda untuk meningkatkan jurisdiction kepada kesalahan-kesalahan ini dengan tujuan antaranya prevention (pencegahan).
“Jadi kenapakah tidak, Akta 355 ini, mahkamah syariah yang mempunyai bidang kuasa yang lebih rendah daripada mahkamah majistret diperkasakan,” soalnya.– 6 Ogos, 2018.
Ada yang lebih penting dari RUU355, kata Mujahid Rawa
Komen