Polis klasifikasi kematian CEO Cradle sebagai kes bunuh


Alfian Z.M. Tahir

KEMATIAN Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd Nazrin Hassan diklasifikasikan sebagai kes bunuh selepas bukti mencadangkan terdapat unsur jenayah yang terlibat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat dalam satu kenyataan berkata kes itu diklasifikasikan sebagai pembunuhan selepas kesan petrol ditemui di bilik Nazrin.

“Kes itu kini disiasat kerana pembunuhan. Kami dimaklumkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat selepas keputusan makmal menunjukkan kesan petrol di kepalanya, rangka katil dan tilam, serta di telefon bimbitnya,” kata Fadzil.

Keluarga Nazrin mendakwa beliau maut disebabkan telefon bimbit yang meletup, tetapi kemudiannya dinafikan oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Azmi Osman yang mengatakan ia terlalu terburu-buru mengatakan kebakaran berlaku disebabkan oleh telefon bimbit yang meletup.

Susulan kematiannya, Cradle mengeluarkan kenyataan Nazrin meninggal akibat kecederaan letupan disebabkan oleh telefon bimbit yang didakwa dicas di sebelahnya.

Dilaporkan juga mesej yang dikatakan daripada keluarga Nazrin termasuk butiran lain yang tidak disahkan, telefon itu terlampau panas lalu dan meletup, mengakibatkan trauma tumpul di bahagian belakang kepala yang membawa kepada kematian mangsa.

Mesej itu juga mendakwa Nazrin sudah meninggal dunia sebelum katilnya terbakar, yang turut membakar sebahagian tubuhnya.

Siasatan awal mendedahkan Nazrin mungkin mati akibat terhidu asap selepas bilik tidur di rumah teres dua tingkatnya di Mutiara Damansara terbakar.

Beliau mengalami kecederaan melecu hingga 30% daripada tubuhnya.

Kejadian itu berlaku pada 14 Jun, sehari sebelum perayaan Hari Raya Aidilfitri. – 6 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen